PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp resah dengan kecederaan yang dialami kapten Liverpool, Jordan Henderson menjelang aksi berdepan Burnley di Anfield, Sabtu ini.
Klopp berkata, dia sendiri tidak pasti sejauh mana kecederaan berkenaan, tetapi mengesyaki ia (kecederaan) berlaku ketika skuad The Reds itu berdepan Brighton, kelmarin hingga terpaksa dikeluarkan pada minit ke-80.
Menurut Klopp dia mengesyaki Henderson mengalami kecederaan lutut setelah berlaga dengan pemain Brighton pada perlawanan berkenaan.
"Saya tidak tahu sejauh mana kecederaan yang dialami Henderson setakat ini; cuma berharap ia tidak serius.
"Lagipun, saya tidak nampak situasi yang berlaku di padang ketika itu, tetapi saya harap ia (kecederaan) tidak serius agar dia boleh diturunkan nanti.
"Apa pun, kita masih perlu menunggu (laporan perubatan) dan sehingga itu saya tidak boleh berikan sebarang ulasan lagi mengenai perkara itu,” katanya.
Liverpool menewaskan Brighton 3-1 pada aksi di Amex, kelmarin yang sekali gus menjadi kemenangan ke-30 buat skuad The Reds musi ini.
Kemenangan berkenaan menyaksikan Liverpool mengumpul 92 mata dengan berbaki empat lagi perlawanan liga dimulai dengan aksi berdepan Burnley di Anfield Sabtu ini, Arsenal (16 Julai di Emirates), Chelsea (23 Julai, di Anfield) dan mengakhiri saingan musim ini dengan berkunjung ke St James Park bagi berdepan Newcastle pada 26 Julai.
Untuk rekod, Liverpool yang telah mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini hanya memerlukan tiga lagi kemenangan bagi mengatasi rekod 100 mata yang dicatatkan Manchester City sebelum ini.
Sementara itu Klopp menegaskan dia sebenarnya langsung tidak peduli mengenai peluang skuad The Reds itu untuk mengatasi rekod yang dicatat oleh City.
Katanya, apa yang lebih mustahak adalah untuk memastikan Liverpool dapat meneruskan rentak kemenangan sehingga ke penghujung musim saingan musim ini.
"Ia (peluang atasi rekod), bukan satu perkara yang penting bagi saya. Saya tidak berminat dengan semua ini tetapi apa yang saya mahu adalah untuk terus memenangi setiap perlawanan bola sepak yang dilalui.
"Secara umum, ia mungkin ia penting bagi sesetengah individu. Kami adalah pasukan juara dan setiap pemain akan meneruskannya (memenangi perlawanan).
"Kita kini memiliki 92 mata dan musim lalu kita catatkan 97 mata di ketika ini. Kita ada kelebihan lima mata berbanding musim lalu dan saya tak tahu bagaimana kami melakukannya,” katanya.