SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyokong kenyataan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berhubung tidak ada penglibatan pihak ketiga dalam tuntutan pekerja untuk mendapatkan perkhidmatan Perkeso malah ia diberikan secara percuma.
Timbalan Setiausaha Agung MTUC, A Balasubramaniam berkata, kenyataan yang dikeluarkan Perkeso berhubung perkara itu adalah cukup jelas dan meyakinkan.
"Pihak MTUC menyeru semua pekerja supaya tidak berurusan dengan mana-mana pihak ketiga atau orang tengah bagi melakukan tuntutan Perkeso kerana ini akan dan telahpun menjurus kepada penyelewengan.
"Pekerja-pekerja harus terus menghubungi Perkeso untuk mendapatkan sebarang perkhidmatan dan nasihat daripada pihak Perkeso," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Perkeso tidak pernah lantik orang tengah urus tuntutan
Semalam Perkeso menegaskan tidak pernah melantik ejen atau orang tengah untuk menguruskan permohonan tuntut faedah yang bertindak bagi pihak agensi itu.
Perkeso berkata, sebarang urusan dengan agensi berkenaan adalah secara terus dan tidak perlu melalui mana-mana orang tengah.
Perkeso turut mengingatkan orang awam supaya tidak terpedaya dengan mana-mana pihak yang mengaku sebagai orang tengah kepada Perkeso dalam menguruskan sebarang permohonan tuntutan faedah.
Sementara itu mengulas lanjut, Balasubramaniam berkata, pekerja juga boleh membuat sebatang aduan kepada pihak MTUC sekiranya mereka telah ditipu atau dianiaya oleh orang tengah supaya permasalahan seperti ini dapat dibendung daripada terus menular dalam kalangan masyarakat.
Dalam pada itu, beliau berkata, Perkeso juga perlu melakukan lebih banyak kempen kesedaran dalam kalangan pekerja-pekerja berkaitan perkara tersebut.
"Ini kerana ramai kalangan pekerja yang masih tidak mengetahui perkara ini dan menjurus kepada gejala ini.
"Kempen kesedaran dapat disalurkan melalui majikan-majikan di tempat kerja secara lebih efisien," katanya.