MODEL terkenal antarabangsa, Bella Hadid berang satu status Instagram (IG) miliknya dipadam sebaik membuat satu hantaran mengenai tempat lahir bapanya di Palestin.
Hantaran di IG Story telah dipadam oleh pihak Instagram dengan mendakwa dia telah melanggar garis panduan yang ditetapkan dengan memaparkan pasport Amerika Syarikat milik bapanya, Mohamed Hadid, lapor Arab News.
Bella Hadid model kacukan Palestin-Belanda kesal dengan tindakan Instagram yang jelas membuli kerana tidak membenarkan seseorang mengakui diri sebagai Palestin di Instagram.
Beliau juga memuat naik status terbaharu dengan kapsyen;"Adakah kamu (IG) mahu saya mengubah tempat kelahirannya untuk kamu?"
Dalam pada itu, Bella juga mendedahkan dia bangga mengakui dirinya berketurunan Palestin dan mengajak peminatnya memuat naik tempat kelahiran mereka di Palestin.
Sementara itu, Instagram sudah memohon maaf atas kesilapan daripada pihak mereka.
Menurutnya, Instagram terpaksa menurunkan posting tersebut untuk melindungi privasi di samping tidak membenarkan pengguna memuat naik maklumat peribadi seperti nombor pasport dan sebagainya.
Namun bagi kes Bella, kesilapan daripada pihak Instagram kerana nombor pasport sudahpun dikaburkan dan sepatutnya tidak dijadikan isu.