'Abah, ummi dan adik mana?'

Iklan
Ammar Aiman kini diletakkan di bawah jagaan keluarga Allahyarham Nurul Huda di Felda Trolak Timur, Sungkai.

SUNGKAI - 'Abah, ummi dan adik mana?.' Itu antara soalan yang sering ditanyakan Ammar Aiman Abdul Hakim, 4, susulan kejadian kemalangan yang meragut nyawa kedua ibu bapa serta adik lelakinya di Kampung Kuak, Kuala Kangsar pada 19 Jun lalu.

Nenek, Saamah Mahmood, 69, berkata, keadaan Ammar Aiman pada minggu pertama kejadian itu sedikit terganggu dan kelihatan sering tercari-cari kelibat ahli keluarganya.

Iklan
Iklan

"Dalam dua tiga hari juga nampak dia sedih dan selalu bertanyakan mereka, kita pun berceritalah yang abah, ummi dan adiknya sudah tiada.

Saamah bersama cucunya, Ammar Aiman yang terselamat dalam nahas pada 19 Jun.

"Pernah dia berlari menangis memeluk kaki ibu saudaranya kerana menyangkakan itu umminya.

Iklan

"Apabila jumpa barang-barang peninggalan arwah abahnya dia akan bercakap ini kasut abah, kita pun jelaskan yang hanya kasut sahaja yang ada, tetapi abah dah tak ada," katanya.

Dalam nahas sekitar jam sekitar jam 10.30 malam itu, pasangan suami isteri, Abdul Hakim Hashim, 32, dan Nurul Huda Arifin, 31, bersama anak bongsu, Adib Aidan, 2, terkorban selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 74, Jalan Ipoh-Gerik.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga sekeluarga maut, isteri hamil 5 bulan

Iklan

Ammar Aiman yang turut berada dalam kereta berkenaan terselamat dan hanya mengalami cedera sebelum dirawat di hospital.

Saamah yang juga ibu kepada Allahyarham Nurul Huda berkata, selepas tiga minggu kejadian itu berlaku, keadaan Ammar Aiman semakin tenang seolah-olah sudah dapat menerima kenyataan kehilangan ahli keluarganya.

"Sekarang dia tidak menangis, cuma bila dia bertanya, kita akan sentiasa beritahu yang mereka semua dah tiada," katanya.

Ammar Aiman yang kini yatim piatu diletakkan di bawah jagaan ahli keluarga Allahyarham Nurul Huda di Felda Trolak Timur di sini.

Nasib kanak-kanak itu mendapat perhatian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang hadir menyampaikan cek Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen Penakat di sini hari ini.

Mohammed Azman

Cek disampaikan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed kepada bapa Allahyarham Nurul Huda, Arifin Shuib,71, serta ibu bapa Allahyarham Abdul Hakim iaitu Noorliah Abas, 58, dan Hashim Ibrahim, 56.

Sementara itu, Mohammed Azman berkata, semakan mendapati pasangan tersebut mempunyai caruman Perkeso dan memenuhi kelayakan bagi membolehkan waris tunggal mereka menerima faedah pengurusan mayat dan pencet penakat.

Menurutnya, Ammar Aiman menerima pencet penakat kedua-dua Allahyarham ibu bapanya berjumlah RM1995.25 sebulan bermula Jun sehingga berusia 21 tahun dan tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda pertama sekiranya berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

Mohammed Azman (kanan) menyampaikan cek Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen Penakat kepada kedua-dua waris Allahyarham.

"Bayaran faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 pula telah disampaikan kepada ibu bapa Allahyarham Nurul Huda manakala RM2,000 lagi kepada keluarga Allahyarham Abdul Hakim," katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan kebajikan Ammar Aiman, Perkeso secara rasmi mengambilnya sebagai anak angkat menerusi Program Prihatin Keluarga Angkat Perkeso (Protek).

"Menerusi program ini, kami akan menjaga kebajikan pendidikan Ammar Aiman antaranya bayaran tuisyen dan memantau perkembangan serta keperluan lain dari masa ke masa,” katanya.