Lambakan sotong 'tarikan' nelayan asing ceroboh

Iklan
Antara tiga nelayan asing yang ditahan dalam operasi APMM. - Foto ihsan APMM Terengganu

KEMAMAN - Lambakan sotong di perairan negara menjadi tarikan nelayan Vietnam menceroboh dan mencuri hasil laut itu untuk dipasarkan ke negara mereka.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, ini disebabkan spesis makanan laut itu mendapat permintaan tinggi di negara tersebut, sedangkan pada masa sama ia sudah pupus dan habis di perairan mereka.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, perairan negara juga mempunyai kelebihan iaitu terdapat banyak pelantar minyak yang menjadi pusat pembiakan hasil laut berkualiti tinggi termasuk sotong dan ikan.

"Setiap kali ditanya kepada nelayan yang ditangkap kerana menceroboh perairan kenapa berbuat demikian, sudah pasti majoriti mereka menjawab sebab banyak sotong di sini (perairan negara).

Iklan

"Selain memaklumkan sotong sudah habis di perairan mereka sedangkan permintaan sangat tinggi disebabkan cara menangkap hasil laut dibenarkan iaitu menggunakan pukat tunda ganding yang menjejaskan ekosistem di laut," katanya pada sidang akhbar di pejabat APMM Terengganu di sini hari ini.

Muhammad Suffi berkata, pihaknya akan terus melaksanakan rondaan terutama di perbatasan sempadan negara bagi mengekang kebanjiran nelayan asing yang tidak serik menceroboh perairan negara untuk mengaut hasil laut tanpa kebenaran.

Iklan

Katanya, tindakan ini memberi amaran dan mesej kepada negara jiran itu yang hanya membiarkan nelayan mereka memasuki perairan negara susulan peningkatan bot asing berkenaan.

Sementara itu, Muhammad Suffi berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuatkuasa, pihaknya menahan sebanyak 12 bot nelayan Vietnam di perairan Terengganu.

Katanya, tangkapan terbaharu melibatkan empat bot bersama 31 awak-awak termasuk tekong ditahan di empat lokasi berasingan antara 162 batu nautika hingga 166 batu nautika dari perairan Kemaman di sini kelmarin.

"Pemeriksaan mendapati kesemua nelayan termasuk tekong berusia antara 16 hingga 55 tahun itu tidak memiliki lesen dan pengenalan diri serta tiada kebenaran melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan negara.

"Turut dirampas hasil tangkapan laut, bekalan diesel, bot dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai hampir RM5 juta," katanya.