CANBERRA - Australia hari ini menawarkan status penduduk tetap (PR) kepada ribuan penduduk Hong Kong sebagai tindak balas terhadap undang-undang keselamatan kontroversi yang dilaksanakan China terhadap hab kewangan Asia terbabit.
Tawaran perlindungan itu dibuat Perdana Menteri, Scott Morrison selepas beliau memaklumkan kerajaan menggantung perjanjian ekstradisi dengan Hong Kong untuk melanjutkan visa 10,000 penduduk bandar raya terbabit yang kini menetap di Canberra.
Beliau turut membuka pintu ‘syurga selamat’ kepada ribuan lagi penduduk di wilayah semiautonomi tersebut yang mahu memulakan kehidupan baharu di negara terbabit.
"Australia sedang menyesuaikan undang-undang kedaulatan, program imigresen dan hal-hal yang menjadi tanggungjawab kami sebagai respons terhadap perubahan yang sedang berlaku di Hong Kong,” ujarnya.
Sementara itu, Kedutaan China di Australia menyelar langkah tersebut yang disifatkan sebagai pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa dan campur tangan besar-besaran dalam hal ehwal dalaman Beijing.
"China sangat kesal dan menentang tuduhan tidak berasas dan langkah yang diumumkan Australia tersebut. Kami menggesa Canberra supaya tidak campur tangan dalam hal ehwal Hong Kong,” kata jurucakapnya.
Terdahulu, Menteri Luar, Marise Payne memberitahu keputusan China yang didakwa menyekat kebebasan di Hong Kong telah dibincangkan bersama rakan keselamatan termasuk New Zealand, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada.
Difahamkan, Morrison membuat keputusan itu sehari selepas China membuka pejabat baharu untuk ejen keselamatan mereka di Hong Kong untuk mengawasi pelaksanaan undang-undang keselamatan yang menyasarkan pihak yang cuba menggesa pemisahan, keganasan dan meminta campur tangan asing.
Dalam perkembangan berkaitan, New Zealand menyatakan ia sedang mengkaji semula hubungan dengan Hong Kong termasuk perjanjian ekstradisi dan kawalan eksport barang strategik selepas mendapati kelulusan undang-undang keselamatan itu telah mengubah persekitaran untuk perhubungan antarabangsa dengan Hong Kong. - AFP