KUALA LUMPUR -"Pavithra, tak masak ke?" tanya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada pasangan Sugu Pavithra.
Namun sapaan yang begitu mudah kelihatan amat sukar sekali untuk dibalas pasangan Youtuber yang cukup dikenali seantero Malaysia itu kerana terlalu gugup.
S.Pavithra yang pertama kali bertemu dengan Perdana Menteri berkata, beliau berasa amat gementar sehingga kehilangan kata-kata.
"Tadi beliau juga tanya saya tak makan ke? Saya rasa terlalu gementar sehingga saya hanya kata ah, ah ya..."
"Perkataan saya tersekat sikit," kata suri rumah berusia 28 tahun itu kepada media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Rukun Negara ke-50 di Putrajaya hari ini.
Menetap di Sungai Siput, Perak, Sugu Pavithra sebelum ini pernah menarik perhatian Perdana Menteri yang turut menghadiahkan mereka tripod, ketuhar gelombang mikro, periuk nasi elektrik serta barangan memasak.
Pavithra anggun berpakaian punjabi hijau dan Sugu berbaju serba hitam menerima jemputan khas menghadiri majlis itu dilihat melafazkan Rukun Negara dengan penuh semangat ketika ia dibacakan oleh Perdana Menteri.
Pasangan suami isteri itu berkata, mereka merasakan Rukun Negara adalah dasar yang mengeratkan perpaduan negara.
Mereka yang terkenal dengan video masakan dan kepetahan bertutur dalam bahasa kebangsaan itu turut berazam untuk menanam semangat Rukun Negara kepada anak-anak yang masih kecil.
"Anak-anak juga belajar ini di sekolah namun di rumah saya cuba menerapkan prinsip itu supaya lebih kuat dalam diri mereka," kata Pavitra. - Bernama