PELABUHAN KLANG - Sebanyak tujuh inisiatif diwujudkan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) sebagai langkah memulihkan sektor logistik dan perkapalan yang terjejas akibat penularan Covid-19.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, inisiatif yang diluluskan jemaah LPK menerusi persidangan yang diadakan pada Isnin lepas meliputi beberapa kaedah dan ia dilihat dapat merancakkan semula sektor tersebut.
"Kaedah pertama adalah melanjutkan tempoh simpanan tambahan secara percuma kepada kargo dan kontena. Bagi kontena import, tempoh simpanan ditambah daripada empat hari kepada enam hari dan kargo eksport pula ditambah daripada lima hari kepada tujuh hari.
"Kedua, permit dan yuran yang dikenakan oleh agensi kerajaan dikecualikan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga Disember depan. Ia bertujuan mengurangkan kos ditanggung oleh pengguna pelabuhan seterusnya menggalakkan pertumbuhan sektor itu,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke LPK di sini hari ini.
Ka Siong berkata, inisiatif seterusnya adalah insentif komersial daripada operator terminal kepada syarikat perkapalan, pengimport dan pengeksport untuk meringankan beban kewangan serta menggalakkan aktiviti perdagangan.
Katanya, selain itu, sistem digitalisasi juga akan dibangunkan secara bersepadu di Pelabuhan Klang sebagai inisiatif bagi meningkatkan produktiviti seterusnya mempelbagaikan perdagangan dalam sektor logistik.
"Inisiatif seterusnya adalah meningkatkan kapasiti infrastruktur di Pelabuhan Klang bagi menambah produktiviti dan perdagangan selain pemberian insentif kewangan oleh LPK berjumlah RM 3.2 juta kepada penyewa-penyewa tanah lembaga itu, syarikat perkapalan dan operator jeti dari Mac lepas hingga Disember depan.
"Sewa pajakan sebanyak 30 peratus bagi Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) juga diberi penangguhan untuk tempoh enam bulan mulai bulan ini yang melibatkan jumlah RM14 juta. Sewa pajakan ini akan dibayar semula pada tahun depan,” katanya.
Dalam lawatan tersebut, Ka Siong turut melancarkan sistem Pengesahan Kontena Kawalan Jauh (RPS) di Pelabuhan Barat bagi menggantikan kerja-kerja kerani kapal (stowage clerk) untuk pengesahan kontena.
Ka Siong berkata, Pelabuhan Barat merupakan terminal pertama di dunia yang menggunakan teknologi tersebut melalui infrastruktur tanpa wayar di mana pengesahan kontena hanya mengambil masa 30 saat berbanding tiga minit sebelum ini.
"Kalau sebelum ini tenaga manusia digunakan untuk buat pemeriksaan, sekarang dijalankan secara automatik. Sistem ini hanya menggunakan kamera bagi memeriksa kontena pada kapal,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, dengan kemajuan dan kemampuan pelabuhan di negara ini, Malaysia yang berada pada kedudukan ke-12 pelabuhan terbesar dunia dilihat mampu melonjak ke tangga ke-10 pada masa depan.
"Kedudukan Malaysia tidak jauh dengan pelabuhan lain yang berada pada kedudukan ke-11 dan ke-10.
"Antara perkara yang harus dilakukan untuk menaikkan kedudukan ialah projek pembesaran terminal dan mempertingkatkan kecekapan pengendalian kargo dan kontena,” katanya.- Bernama