FATIMA Mujic berdoa setiap hari untuk suami dan tiga anak lelakinya yang mati sewaktu pembunuhan beramai-ramai dalam penentangan terhadap Muslim Bosnia di bandar Srebrenica 25 tahun lalu.
Bagaimanapun, dia teragak-agak memikirkan tentang anak sulungnya, Refik yang tidak ditemui selama suku abad selepas kejadian pembunuhan itu.
"Saya masih berfikir dia masih hidup. Apabila saya berdoa, tangan saya menggeletar. Saya tidak tahu apa yang hendak dilakukan," kata balu berusia 75 tahun itu.
Anak kesayangannya itu antara kira-kira 8,000 lelaki dan kanak-kanak Islam kaum Adam yang dibunuh tentera Serbia dalam Perang Bosnia dari tahun 1992 hingga 1995, satu kekejaman yang juga penghapusan etnik oleh sebuah mahkamah antarabangsa.
Tulang-tulang suami Mujic dan dua anak lelakinya ditemui dalam kubur besar sebelum dikebumikan semula di sebuah pusat memorial iaitu lokasi pengebumian 6,000 mangsa pembunuhan.
Lebih 1,000 orang lagi tidak ditemui yang menyebabkan kesengsaraan dalam kalangan yang terselamat.
Kisah hitam itu adalah pembunuhan paling kejam di Eropah sejak Perang Dunia Kedua, kemudian digolongkan sebagai penghapusan etnik oleh Tribunal Jenayah Antarabangsa Untuk Bekas Negara Yugoslavia.
Dalam perang Bosnia itu, penduduk Muslim, Serbia dan Croatia saling bertempur dari tahun 1992 hingga 1995 yang menyebabkan hampir 100,000 penduduk terkorban dan 2.2 juta orang hilang tempat tinggal.
Srebrenica ialah sebuah bandar Muslim di timur Bosnia jatuh ke tangan tentera Serbia Bosnia selepas ibu negara Sarajevo dikepung pada permulaan perang itu pada April 1992.
Mujic yang kini tinggal di sebuah kampung di Sarajevo berkata, dia hidup selagi tinggalan Refik tidak digali dan ditemui, namun satu dekad telah berlalu sejak 84 kubur besar ditemui.
"Sejak Julai 2019, hanya tulang-tulang 13 mangsa ditemui," kata Emza Fazlic iaitu jurucakap untuk Institut Orang Hilang.
"Kekurangan maklumat baharu dan dan saksi menghalang usaha pencarian," katanya.
Sebelum majlis memperingati penghapusan etnik Bosnia yang ke-25 tahun, Mujic mengingati semula kali terakhir dia melihat anak-anaknya.
Mujic antara ribuan wanita, kanak-kanak dan warga emas yang berhimpun di depan sebuah pangkalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di luar Srebrenica selepas tentera Belanda memberikan perlindungan kepada penduduk Muslim.
Mujic menganggap ia sebagai syurga selamat buat masa itu.
Di bawah pemerintahan pemimpin tentera Serbia Bosnia iaitu Ratko Mladic, kaum Adam dan kanak-kanak lelaki dibawa lari sebelum dibunuh.
Pada pagi 11 Julai 1995, Mladic akhirnya menggempur Srebrenica yang menyebabkan puluhan ribu pelarian melarikan diri ke kawasan pekarangan pasukan pengaman PBB yang terdiri daripada tentera Belanda di Potocari.
Dalam pertempuran itu kaum lelaki baik dewasa atau remaja dipisahkan daripada kaum wanita oleh tentera Serbia Bosnia.
Mujic mengingati bagaimana anak bongsunya, Nufik yang berusia 16 tahun memeluk dan berkata:"Ibu, jangan tinggalkan saya."
"Saya mengusap rambutnya yang kerinting dan berkata saya tidak akan tinggalkan kamu," katanya sambil mengingati kejadian itu.
Dua anak lelaki dan suaminya cuba melarikan diri ke hutan tetapi akhirnya ditangkap.
Seorang lagi balu iaitu wanita berusia 71 tahun, Mejra Djogaz memutuskan untuk menghabiskan masanya di tempat yang mana kehidupannya telah terhenti.
Dia tinggal di sebuah rumah berdekatan dengan sebuah memorial di Srebrenica yang kini terletak dalam kawasan yang didominasi Serbia dan separuh lagi Bosnia iaitu satu legasi penghapusan etnik semasa peperangan yang memisahkan antara Serbia Bosnia, penduduk Muslim dan komuniti Croatia.
Setiap pagi, apabila keluar untuk menyiram pokok bunga di sisi rumahnya, dia melihat ribuan batu nisan putih dalam satu barisan yang lurus di sebuah halaman hijau memorial itu.
Dua anak lelakinya, Omar dan Munib dikebumikan di sana.
Mereka masing-masing berumur 19 dan 21 tahun.
"Saya tidak mempunyai sebab untuk hidup. Saya menjaga bunga-bunga supaya saya tidak menjadi gila," kata wanita itu mengenang anak ketiganya, Zuhdija berusia 20 tahun dan suaminya, Mustafa terbunuh lebih awal dalam perang tersebut semasa Srebrenica dikepung.
"Anak lelaki saya tidak mencederakan sesiapa. Saya hairan kenapa mereka membunuh anak-anak saya?" kata Djogaz.
Ramiza Gurdic, 67, juga berasa hairan tentang lelaki-lelaki yang membunuh anak dan suaminya,"Adakah mereka mempunyai anak?
Dua anak lelakinya, Mehrudi dan Mustafa, masing-masing berusia 17 dan 20 tahun.
Sebelum melarikan diri ke hutan bersama bapa mereka, anak yang sulung itu menghisap rokok.
"Ibu, saya tidak akan melihat anda sekali lagi.
"Anak yang lebih muda tidak menyatakan apa-apa," katanya.
Kedua-dua anak lelakinya terbunuh dengan hanya separuh badan Mehrudin dijumpai.
Balu itu masih berharap baki badan anaknya itu akan ditemui.
Dalam pada itu, pemimpin tertinggi Serbia Bosnia, Radovan Karadzic dihukum penjara seumur hidup pada Mac 2019.
Dia kini dipenjarakan di unit tahanan PBB di The Hague, Belanda.
Mladic pula yang pernah digelar sebagai penyembelih Bosnia dihukum penjara seumur hidup pada November 2017.
Hakim berkata, dia berhasrat untuk menghapuskan etnik Muslim Bosnia dengan membunuh kaum lelaki dan budak lelaki.
Mladic kini merayu atas dakwaan pembunuhan selain meminta hakim untuk membebaskannya dan kini menunggu keputusan rayuan tribunal itu. - AFP