SEOUL - Datuk Bandar Seoul, Park Won-soon yang dilihat berpotensi menjadi calon Presiden Korea Selatan ditemui mati hari ini, kata polis.
Seorang bekas pekerja bandar raya ini memfailkan satu aduan polis yang mendakwa Won-soon terlibat dengan gangguan seksual pada Rabu lalu.
Mayat Datuk Bandar itu ditemui di pergunungan utara Seoul, kata polis selepas ratusan pegawai pihak berkuasa tersebut dikerah bagi mencarinya.
Anggota-anggota kecemasan membawa mayat Won-soon menuruni laluan pada awal pagi, menurut seorang wartawan AFP di tempat kejadian sebelum dibawa ke sebuah hospital.
Beberapa wanita dilihat menangis ketika mayat lelaki tersebut tiba di hospital.
Menurut polis, Won-soon dilaporkan hilang pada Khamis lalu dengan anak perempuannya melaporkan beliau tidak dapat dihubungi selama beberapa jam.
Tambah polis, tiada nota bunuh diri ditemui di tempat kejadian tetapi agensi berita Yonhap melaporkan dia dianggap membunuh diri.
Jika Won-soon terbukti membunuh diri, beliau merupakan tokoh politik Korea Selatan berprofil tinggi melakukan perbuatan itu sejak bekas Presden, Roh Moo-hyun terjun dari sebuah tebing tinggi pada tahun 2009 selepas disoal berhubung dakwaan rasuah melibatkan ahli keluarganya. - AFP