BEKAS pemain Barcelona, Rivaldo menyifatkan pasukan itu semakin kehilangan kualiti sehingga menjadi punca kemerosotan prestasi gergasi La Liga itu.
Menurutnya, apa yang berlaku di luar padang juga menyumbang kepada masalah yang membelengu pasukan sehingga bakal kehilangan trofi La Liga musim ini kepada seteru utama mereka, Real Madrid.
Malah, Rivaldo turut membidas tindakan Presiden Barcelona, Josep Bartomeu yang mengeluarkan kenyataan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) banyak membantu Real musim ini dan kenyataan tersebut disifatkan hanya untuk mengalihkan perhatian masalah yang sedang melanda pasukan.
"Kadangkala kita boleh rasa kurang senang dengan mutu pengadilan atau keputusan VAR, tetapi saya tidak setuju dengan Bartomeu bahawa ada bias terhadap Real.
"Barcelona memang masih berjuang merebut trofi La Liga dan Liga Juara-Juara, tetapi ini bukan detik baik buat pasukan. Bartomeu cuba menggunakan isu VAR untuk mengelakkan dia dipersalahkan dan menutup apa yang berlaku di Nou Camp.
"Pada pendapat saya, masalah Barcelona bukanlah VAR tetapi kualiti bola sepak mereka yang semakin tenggelam dan perlu diperbaiki.
"Barcelona mendahului liga sebelum saingan terpaksa ditangguhkan akibat Covid-19 dan sekarang empat mata dibelakang Real. Jadi anda tidak boleh salahkan VAR terutama ketika pasukan tidak bermain baik," katanya.
Dalam pada itu, Rivaldo turut menyifatkan penangguhan liga menyumbang kepada kemerosotan skuad kendalian Quique Setien itu.
"Sesetengah pemain Barcelona tidak berada pada tahap terbaik ditambah bermain dalam stadium kosong menjejaskan semangat mereka," katanya.