UUM sedia terima kembali kemasukan pelajar

Iklan
Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani

SINTOK - Persiapan awal telah dilakukan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk menerima kembali kemasukan pelajar-pelajarnya ke kampus secara berperingkat mulai bulan ini.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, universiti itu telah bersedia lebih awal dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) sama yang ditetapkan kerajaan untuk menerima kembali kemasukan pelajar nanti.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selepas pelajar dibenarkan pulang pada April lalu, UUM telah menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian atau online learning dan ia akan tetap diteruskan sehingga akhir tahun meskipun pelajar sudah dibenarkan kembali ke kampus kelak.

Katanya, bagi pelajar antarabangsa pula mereka akan mengikuti SOP yang ditetapkan sebelum masuk ke Malaysia, malah mereka juga akan menjalani saringan kesihatan di pintu masuk negara, seterusnya menjalani 14 hari kuarantin di dalam kampus.

Iklan

"Pihak universiti sudah menyediakan lokasi kuarantin dan dijangka menggunakan tempat yang sama seperti sebelum ini untuk kemasukan kira-kira 1,000 pelajar antarabangsa nanti.

"UUM juga akan membantu pelajar antarabangsa ini untuk pulang ke kampus dengan menyediakan bas di pintu masuk utama negara. Ini bagi memastikan tiada interaksi berlaku sepanjang tempoh perjalanan pulang ke kampus,” katanya ketika ditemui media di Kampus Sintok, semalam.

Iklan

Ahmad Bashawir berkata, bagi mengekang penularan wabak Covid-19, UUM menerusi Pusat Kesihatan Universiti dan UUMIT telah membangunkan dua aplikasi baru iaitu Covid-19 Daily Self Assessment (CODSA) dan MyQR UUM.

Menurutnya, kerjasama itu dilakukan bersama TM Berhad dengan menjadi universiti pertama menggunakan sistem pengimbas kesihatan atau Health-Screening System (HSS) yang turut merekodkan kehadiran staf mahupun pelajar.

"Aplikasi CODSA dibangunkan bertujuan untuk mengira risiko seseorang dijangkiti wabak Covid-19. Menerusi CODSA, terdapat tiga keputusan iaitu hijau, kuning dan merah yang mana warna keputusan ini akan menentukan langkah seterusnya yang perlu dijalankan.

"Manakala aplikasi MyQR dibangunkan dengan kerjasama PKU dan penyelidik UUM sendiri iaitu Profesor Madya Dr Shahrul Azmi Mohd Yusof yang bertujuan merekod maklumat pergerakan seseorang yang memasuki mana-mana premis sama ada kedai atau pusat pengajian yang mana setiap premis tersebut akan dibekalkan dengan kod QR khas," katanya lagi.

Kelmarin, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad telah membenarkan kemasukan empat kategori lagi pelajar untuk kembali ke kampus secara berperingkat bermula pada bulan ini.