SHAH ALAM - Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad menyokong sepenuhnya cadangan supaya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali semula kepada UMNO dan dilantik sebagai Presiden parti itu.
Beliau berkata, cadangan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kelmarin amat bernas malah empat sebab Muhyiddin perlu menyertai semula UMNO sangat relevan.
Menurutnya, Mohamed Nazri menyebut, pertama Muhyiddin tidak mengkhianati UMNO kerana beliau tidak meninggalkan parti sebaliknya dipecat dan kedua, kembalinya Muhyiddin akan mengukuhkan parti terbesar orang Melayu itu.
Tambahnya, alasan lebih penting Muhyiddin tidak kembali dengan tangan kosong tetapi dengan jawatan Perdana Menteri, maka jawatan Presiden UMNO juga patut diserahkan kepada Ahli Parlimen Pagoh itu dan ahli parti perlu menerimanya dengan hati terbuka.
Katanya, jika Muhyidddin kembali, Mohamed Nazri mengatakan ia juga akan dapat menyelesaikan masalah pembahagian kerusi di antara UMNO dengan Pas.
"Saya bersetuju sepenuhnya dengan semua cadangan dan alasan Mohamed Nazri itu.
"Mengenai alasan keempat, sambil saya bersetuju ia akan mengurangkan masalah pembahagian kerusi antara UMNO dan Pas, ia juga akan mengurangkan masalah pembahagian kerusi UMNO dan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia)," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Rabu lalu, Mohamed Nazri dilaporkan berkata, Muhyiddin perlu kembali menyertai UMNO dan mengukuhkan parti terbesar orang Melayu itu selain menyenaraikan empat alasan termasuk jawatan Presiden UMNO juga wajar diberikan kepada Muhyiddin sekiranya beliau kembali kepada UMNO.
Hari ini katanya, modal Bersatu hanya ada satu iaitu jawatan Perdana Menteri dan tanpa jawatan itu ia akan jadi berkecai.
"Oleh itu, selagi beliau dikehendaki dan dihormati, Muhyiddin perlu menyediakan jalan keluar dengan terhormat dan belajarlah daripada kesilapan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Abdul Hamid berkata, jika Muhyiddin tidak disingkir sebelum ini, besar kemungkinan beliau yang akan dilantik sebagai Presiden UMNO dan jika Barisan Nasional (BN) menang pilihan raya umum, beliau juga yang akan menjadi Perdana Menteri selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.