PASIR PUTEH - Sakit saraf yang dialaminya sejak beberapa bulan lalu mengubah corak kehidupan seorang lelaki di Kampung Bukit Awang di sini, sehingga terpaksa mengharapkan ihsan saudara-mara.
Hawari Mat Zain, 54, mengalami masalah penglihatan kesan daripada penyakit itu sehingga dia tidak mampu lagi bekerja.
Menurutnya, sebelum ini dia menyewa rumah di Jerteh, Besut tetapi terpaksa tinggal di Kampung Bukit Awang kerana tidak mampu membayar sewa rumah.
"Saya sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori, selepas itu saya menoreh getah dan dalam keadaan sakit bertambah serius, saya terpaksa berhenti kerja.
"Bermula Disember tahun lepas, penglihatan saya makin teruk,” katanya yang kini tinggal di sebuah rumah kecil dibina hasil bantuan saudara-maranya.
Hawari berkata, oleh kerana baru kembali ke daerah asalnya sebulan lalu, dia tidak tahu cara untuk memohon bantuan daripada mana-mana agensi berkaitan.
Katanya, dia mempunyai enam adik-beradik tetapi kesemua mereka tinggal di luar Kelantan.
Tambahnya, bulan depan dia perlu ke Hospital Kuala Terengganu untuk merawat matanya dan berharap ada orang yang dapat membantunya.
"Saya tak tahu nak buat macam mana, duit tak ada, makan minum pun saudara-mara yang bagi,” katanya yang berpisah dengan isterinya dua tahun lalu.