KOTA BHARU - Hukum membeli dan memakan makanan berbentuk haiwan berbisa seperti roti canai ular yang tular baru-baru ini adalah tidak haram, selagi bahan yang digunakan untuk membuat makanan itu adalah daripada sumber yang halal.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, ini kerana tujuan pembelian itu semata-mata untuk dimakan dan bukan untuk diagungkan.
"Kita semua sedia maklum, bahawa kandungan roti canai itu hanyalah tepung gandum sahaja dan ia datang daripada sumber yang halal. Jadi tidak timbul sekalipun isu haram jika memakan roti canai berbentuk ular.
"Bagaimanapun, hukum memakan ular tetap haram kerana ia mengandungi bisa yang akan memudaratkan manusia namun roti canai ular ini cuma menyerupai bentuk sahaja, bukan kandungannya yang memudaratkan manusia,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN - Roti canai ular dapat sambutan
Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika diminta mengulas tindakan segelintir masyarakat yang mempersoalkan hukum memakan roti canai berbentuk ular yang tular di media sosial serta aplikasi WhatsApp sejak beberapa hari lalu.
Mohamad Shukri turut mengingatkan umat Islam agar tiada unsur mempersendakan agama ketika memakan roti canai ular berkenaan.
"Seperti contoh, jika kita minum air kosong namun kita menyamakan air itu dengan arak adalah tidak dibenarkan, sama juga jika memakan roti canai ular ini namun dibanggakan seperti memakan ular yang betul adalah tidak dibenarkan kerana seolah-olah mempermainkan hukum Islam.
"Masyarakat juga diingatkan tidak menggembar-gemburkan dan cepat menghukum sesuatu perkara yang tidak pasti. Seboleh-bolehnya pandanglah sesuatu perkara daripada sudut yang lebih positif,” katanya.
Semalam, akhbar melaporkan roti canai ular yang dihasilkan oleh seorang pengusaha roti canai, Che Harun Ali, 46, dari Kampung Kubur Kuda di sini, mendapat sambutan ramai selepas tular di media sosial.- Bernama