Elak kebocoran hasil

Iklan
Zaida (dua, kanan) berkesempatan memberi penerangan berhubung cukai kepada pelanggan.

SEREMBAN - Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan lebih fokus kepada peranannya dalam meningkatkan kelancaran dan kepantasan pergerakan barang, orang dan pengangkutan merentasi sempadan.

Pengarah Kastam Negeri Sembilan, Zaida Hussin berkata, usaha ini juga dilaksanakan dengan bantuan dan kerjasama erat bersama agensi lain di sempadan bertujuan memacu ekonomi negara dan mengelakkan kebocoran hasil.

Iklan
Iklan

"Antara langkah awal, pindaan ke atas Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976, yang mengenakan hukuman lebih tinggi bagi penyeludupan dan penjualan rokok serta minuman keras tidak lulus kastam telah berkuatkuasa pada 2 Januari 2019.

"Kastam juga sentiasa komited dalam memastikan peranannya untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan memelihara keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat melalui tiga fungsinya,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Hari Bertemu Pelanggan sempena Hari Kastam Sedunia ke-37, 2019 di sini, semalam.

Menurutnya, tiga fungsi tersebut merupakan memungut hasil negara iaitu dalam bentuk duti import, duti eksport, duti eksais, cukai jualan, cukai perkhidmatan, levi keuntungan luar biasa, levi kenderaan, hasil bukan cukai dan hasil negeri atau wang amanah.

Iklan

"Selain itu, memberi fasilitasi kepada sektor perdagangan dan perindustrian dan fungsi ketiga menguatkuasakan perundangan Iaitu menguatkuasakan undang-undang berkaitan kastam seperti Akta Kastam 167 dan Akta Eksais 1976,” katanya.

Dalam pada itu, Zaida turut menyeru kepada wakil-wakil industri yang hadir pada hari bertemu pelanggan merebut peluang yang ada bagi memantapkan lagi pemahaman terhadap perlaksanaan dan pematuhan kepada Akta Cukai Jualan 2018 dan Akta Cukai Perkhidmatan 2018.

"Kastam akan melaksanakan program-program Handholding seperti ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, katanya, sambutan Hari Kastam Sedunia disambut oleh semua ahli World Customs Organization (WCO) yang terdiri daripada 183 ahli dari seluruh dunia.

"Ahli-ahli WCO adalah pentadbiran kastam yang beroperasi di semua benua dan mewakili semua peringkat pembangunan ekonomi. Ahli-ahli WCO juga bertanggungjawab dalam memproses 98 peratus perdagangan antarabangsa,” katanya.