PETALING JAYA - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasarkan untuk bekerjasama dengan lebih banyak koperasi luar negara bagi membekalkan produk mereka di kedai koperasi di negara ini yang berdaftar dengan program Barang Asas 100 (BA100).
Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pihaknya sedang mengenal pasti syarikat koperasi berpotensi di luar negara seperti di Jepun, New Zealand, Thailand, Filipina dan Indonesia bagi tujuan kerjasama itu.
"Sebagai contoh New Zealand terkenal sebagai pengeluar susu dan kami akan dapatkan produk pelbagai jenis susu daripada mereka. Bagi bekalan buah-buahan misalnya, kami cadang untuk ambil dari syarikat koperasi Thailand.
"Untuk bekalan barangan basah seperti ikan pula, kami boleh dapatkan dari Indonesia dan Filipina. Yang penting produk ini, kami boleh dapat dengan harga lebih murah berbanding dalam negara," katanya selepas menandatangi memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat Yakult (Malaysia) Sdn Bhd di Wisma Ungku A. Aziz di sini, hari ini.
Pada majlis menandatangani MoU itu, Abdul Fattah mewakili Angkasa manakala Yakult (Malaysia) Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusannya Hiroshi Hamada. Melalui MoU itu, Yakult akan membekalkan produknya ke kedai koperasi BA100 seluruh negara.
Abdul Fattah yang juga Presiden Organisasi Koperasi ASEAN (ACO) berkata, kerjasama erat dengan syarikat koperasi asing itu adalah inisiatif Angkasa untuk mempelbagaikan produk jualan koperasi BA100 dengan harga lebih kompetitif kepada pengguna.
"Usaha ini kami akan laksanakannya secepat mungkin dan dalam masa yang sama semua syarikat atau kedai koperasi perlulah agresif untuk melihat alternatif perniagaan baharu yang lain supaya lebih berkembang.
"Angkasa juga berterusan mengenal pasti beberapa sektor lain yang berpotensi besar termasuk pertanian yang boleh membekalkan barangan makanan asas. Kami sarankan juga agar mereka yang terlibat dengan koperasi peruncitan rebut peluang menyertai BA100 ini," katanya.
Sehingga hari ini, lebih 20 syarikat pembekal tempatan mendaftar dalam BA100 melalui platform digital JiMATbiz (www.jimatbiz.com) dan JiMATshop (www.jimatshop.com) serta sebuah syarikat dari Jepun iaitu Yakult. Bilangan pembekal dijangka meningkat kepada 50 syarikat menjelang hujung tahun ini.
BA100 yang mendapat sokongan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) merupakan program perniagaan e-dagang yang mengumpul belian barangan asas secara pukal mengikut permintaan di kedai runcit milik koperasi dengan menawarkan barang keperluan harian pada harga lima peratus lebih jimat berbanding pasaran biasa. - Bernama