Laporan Al Jazeera cenderung burukkan Malaysia: KPN

Iklan
Abdul Hamid -Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Laporan dokumentari 'Locked Up In Malaysia’s Lockdown' yang diterbitkan agensi berita antarabangsa Al Jazeera adalah tidak tepat dan cenderung memburukkan Malaysia, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Menurutnya, perkara itu telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan didapati mempunyai unsur hasutan.

Iklan
Iklan

"Negara kita ada undang-undang yang penting dan perlu dipatuhi. Bukannya sehingga kita perlu berpuasa dan bernazar dan sebagainya.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa mendukung prinsip kebebasan media yang bertanggungjawab. Laporan itu telah cetus kemarahan orang ramai dan ada beberapa perkara yang menyentuh naluri orang Malaysia," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.

Iklan

Beliau berkata, susulan itu enam individu telah dipanggil sebagai saksi hari ini untuk direkod keterangan dan bagi menjawab beberapa soalan.

Katanya, setelah itu, kertas siasatan akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Iklan

Selain itu, tambahnya, beliau juga menyeru mana-mana individu yang mendakwa dilayan seperti binatang itu untuk tampil bertemu dengannya.

"Saya ada melawat sendiri di Pusat Kuarantin Covid-19 di MAEPS, Serdang sebelum ini yang mana turut melibatkan kluster warga asing dari Selangor Mansion.

"Layanan perubatan dan makanan yang diberikan berada di kelas dunia.

"Sekiranya ada yang kata mereka dilayan seperti binatang, mari datang jumpa saya," katanya.

Dokumentari Al Jazeera bertajuk ‘Locked Up in Malaysia's Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mendakwa terdapat isu perkauman dalam mengendalikan Covid-19 di Malaysia.