PUTRAJAYA - Pembukaan sektor sukan dan rekreasi secara menyeluruh dijangka dilaksanakan sebelum tahun 2020 melabuhkan tirai, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Bagaimanapun Reezal Merican berkata, pelaksanaan Fasa 5 (kehadiran penonton ke stadium dengan skala kecil) dan Fasa 6 (kehadiran penonton ke stadium dengan skala besar serta penyertaan atlet luar negara dalam kejohanan tempatan) sektor sukan dan rekreasi itu, bergantung kepada situasi semasa wabak Covid-19 di negara ini.
"Ia memerlukan pembinaan keyakinan dari satu fasa ke satu fasa, jadi pada waktu ini kita sambut pembukaan fasa ketiga dan keempat.
"Dengan harapan, ia membuka ruang untuk fasa seterusnya, diberi kebenaran beroperasi dan seterusnya sukan secara keseluruhan kembali normal dan bergiat aktif, sebagaimana kita pernah saksikan seperti waktu dahulu,” katanya ketika ditemui di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini hari ini.
Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang akhbar selepas mesyuarat khas menteri-menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini mengumumkan kerajaan membenarkan pembukaan sektor sukan dan rekreasi bagi Fasa 3 dan Fasa 4.
Mengulas mengenai pengumuman itu, Reezal Merican berharap perkembangan positif itu dapat memberi kelegaan kepada pemain industri sukan, serta memberi peluang kepada rakyat untuk kembali menjalani kehidupan lebih produktif, melalui aktiviti sukan.
"Industri sukan sudah menjadi penjanaan ekonomi, salah satu penyumbang kepada GDP. Sudah tentu pengumuman itu satu kelegaan kepada rakyat, dan saya harap ia akan mengubah wajah dalam kalangan penggiat sukan, dan membawa rakyat kembali kepada aktiviti sihat melalui budaya bersukan,” jelasnya.
Fasa 3 yang berkuatkuasa bermula 15 Julai, menyaksikan aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal, selain penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan untuk sukan tiada bersentuhan fizikal tanpa penonton, dibenarkan.
Fasa 4 yang bermula 15 Ogos akan membenarkan penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan untuk sukan bersentuhan fizikal tanpa penonton, antaranya saingan Liga Malaysia (Liga-M).- Bernama