SINGAPURA - Pilihan Raya Umum Singapura 2020 (GE2020) berlangsung agak kontroversi yang menyaksikan pengundi terpaksa beratur dalam barisan lebih panjang daripada biasa serta keputusan mengejut Jabatan Pilihan Raya (ELD) untuk melanjutkan tempoh pengundian sehingga jam 10 malam.
Tempoh membuang undi di pusat pengundian di Singapura telah dilanjutkan selama dua jam walaupun proses Pilihan Raya Umum ke-13 itu dijadualkan berakhir pada jam 8 malam.
"Di bawah Seksyen 39 (3) Akta Pilihan Raya Parlimen, Pegawai Pilihan Raya telah melanjutkan tempoh mengundi kecuali di tempat mengundi yang di kemudahan ditentukan untuk notis jangan keluar rumah (SHN).
"Masalah beratur panjang di kebanyakan pusat pengundian yang dilaporkan sejak pusat pengundian dibuka telah bertambah baik dan hanya sebilangan kecil yang masih berdepan isu tersebut," menurut ELD dalam satu kenyataan.
Beberapa jam sebelum itu, ELD turut memohon maaf selepas mendapati prosedur pemakaian sarung tangan sekali guna sebelum memangkah undi dipercayai menjadi punca kebanyakan pengundi terpaksa beratur panjang untuk menunggu giliran.
Sehingga jam 5 petang, kira-kira 2.16 juta atau 81 peratus pengundi berdaftar telah menunaikan tanggungjawab mereka dan mematuhi peraturan ketat ditetapkan ELD termasuk langkah penjarakkan sosial bagi membendung penularan koronavirus (Covid-19).
Difahamkan, waktu mengundi khas pada jam 7 hingga 8 malam telah diperuntukkan untuk pengundi yang menjalani SHN, memiliki dokumen perubatan berhubung jangkitan pernafasan akut dan mereka yang diserang demam dengan suhu tubuh 37.5 darjah Celsius dan ke atas.
Keputusan melanjutkan tempoh pengundian itu bagaimanapun ditolak Parti Demokratik Singapura (SDP) yang menggesa ELD supaya membatalkan keputusan tersebut.
"Ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Sebilangan ejen pengundian kami telah meninggalkan pusat pengundian kerana mereka sedia maklum pengundian tamat pada jam 8 malam.
"Keputusan itu akan menyebabkan wakil kami tidak dapat mengawasi ketika kotak undi ditutup dan keputusannya mungkin akan dipersoalkan," ujar SDP.
Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Perpaduan Nasional (NSP), Spencer Ng berkata, parti beliau terkejut dengan pengumuman itu.
"Kami sudah membantah keputusan mengadakan pilihan raya ketika pandemik Covid-19 dan sekarang dengan penangguhan ini yang akan memberi tekanan dan membebankan rakyat Singapura kerana membuat pengumuman saat akhir," katanya. - Agensi