KUALA LUMPUR - Tempoh moratorium atau penangguhan pembayaran balik pinjaman yang dilaksanakan kerajaan bagi membantu individu serta perusahaan kecil dan sederhana menghadapi kekangan kewangan susulan penularan pandemik koronavirus (Covid-19) hanya berbaki kira-kira tiga bulan.
Persoalannya, bersediakah mereka yang memanfaatkan fasiliti moratorium itu untuk kembali membayar balik pinjaman pasca Covid-19 atau masih mengharapkan pelanjutan tempoh moratorium selama enam bulan yang akan berakhir pada 30 September ini.
Pengurus Besar (Bahagian Operasi) Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Nor Fazleen Zakaria berkata, peminjam perlu memahami bahawa moratorium itu hanya satu fasiliti yang diberikan kerajaan bagi meringankan beban mereka dalam menghadapi situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Memandangkan moratorium itu akan tamat tidak lama lagi beliau berkata, peminjam perlu mula merancang kewangan mereka seawal mungkin sebaik-baiknya sekarang.
"Jangan tunggu hingga saat-saat akhir sekalipun pembayaran balik pinjaman hanya akan bersambung semula pada Oktober.
"Merancang awal bermakna mereka perlu melihat kedudukan kewangan mereka sama ada mereka mampu bayar balik pinjaman apabila moratorium tamat,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, bagi peminjam yang berasa tidak mampu untuk berbuat demikian, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah berunding dengan institusi kewangan masing-masing mengenai penjadualan atau penstrukturan semula pembayaran balik pinjaman.
"Sebagai pemberi pinjaman, institusi kewangan sudah pasti mahu peminjam membayar balik pinjaman masing-masing, namun jika peminjam tidak mampu berbuat demikian, mereka perlu menghubungi institusi kewangan masing-masing dan beritahu masalah yang dihadapi.
"Sebagai peminjam yang bertanggungjawab, anda boleh dapatkan nasihat daripada institusi kewangan anda kerana mereka boleh menimbang untuk menjadualkan atau menstrukturkan semula pinjaman anda,” katanya.
Katanya, pada masa sama pengguna boleh mendapatkan nasihat daripada AKPK melalui Program Pengurusan Kredit (DMP) yang bertujuan membantu peminjam kembali mengawal kewangan mereka.
"Menerusi DMP AKPK, kaunselor kami akan bekerja dengan peminjam untuk membangunkan pelan pembayaran balik pinjaman mengikut kesesuaian anda dalam rundingan dengan institusi kewangan yag terlibat. Perkhidmatan DMP ini adalah percuma kepada individu,” katanya.
Beliau turut mengingatkan peminjam mendapatkan maklumat daripada institusi kewangan masing-masing mengenai jumlah bayaran balik bulanan terkini yang perlu dijelaskan selepas moratorium berakhir kerana ada kemungkinan berlaku perubahan.
Nor Fazleen turut berkata, semakan semula belanjawan bulanan pasca-Covid-19 adalah penting untuk memastikan peminjam dapat memenuhi komitmen hutang mereka.
Peminjam katanya, perlu mengutamakan perbelanjaan penting seperti bayaran balik pinjaman, bil dan bayaran sewa serta mengelak perbelanjaan yang tidak perlu.
Pada 25 Mac lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan moratorium selama enam bulan, penukaran baki kad kredit kepada pinjaman berjangka dan penstrukturan semula pinjaman korporat menerusi inisiatif bernilai sekurang-kurangnya RM100 bilion.
AKPK adalah agensi milik penuh Bank Negara Malaysia yang ditubuhkan pada April 2006 untuk membantu individu mengawal kedudukan kewangan mereka termasuk memanfaatkan fasiliti kredit secara bijak.
Sejak penubuhannya sehingga Mei 2020, lebih sejuta individu mendapatkan perkhidmatan kaunseling AKPK dan daripada jumlah itu kira-kira 330,000 orang menyertai DMP.
Nor Fazleen berkata, sebanyak 27,091 kes sudah keluar daripada program itu melibatkan jumlah tunggakan RM1,184.4 juta.
Mereka yang ingin tahu lebih lanjut tentang tip terkini pengurusan kewangan berhemat serta mempelajari pengurusan kewangan secara dalam talian boleh melayari laman web power.akpk.org.my atau laman Facebook, Twitter dan Instagram rasmi AKPK. - Bernama