Ariff AB harumkan nama Malaysia

Iklan
Ariff AB

KUALA LUMPUR - Penyanyi Malaysia, Ariff AB, 28, yang mengukir kejayaan di United Kingdom (UK), mengharumkan nama Malaysia apabila dinobatkan sebagai pemenang anugerah Young Malaysian International Achiever di Top Asia Corporate Ball di Jakarta, Indonesia, semalam.

Penyanyi bernama asal Ariff Abu Bakar itu berkata anugerah berkenaan diberi sebagai pengiktirafan terhadap pencapaiannya dalam bidang muzik di UK dan Eropah.

Iklan
Iklan

"Anugerah yang diterima ini menjadi perangsang bagi saya untuk terus melakar kejayaan di peringkat antarabangsa dan sudah semestinya saya akan membawa nama Malaysia ke mana jua saya pergi. Suatu babak baharu kini bermula.

"Sebagai bakat baharu dalam bidang muzik di UK dan Malaysia, saya bersyukur dengan peluang yang diberi kepada saya ini dan saya berharap akan dapat mencipta nama di Jakarta dan seluruh Asia juga tidak lama lagi," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Iklan

Ariff berkata beliau akan kembali ke UK untuk menjayakan suatu siri jelajah tidak lama lagi, di samping mengadakan persembahan di Norway, sebelum mula bekerja untuk album ketiganya.

"Album baharu itu akan melibatkan lebih banyak kolaborasi. Saya tidak pasti bagaimana hasilnya nanti, tapi apa yang boleh saya nyatakan ia akan mempunyai kelainan," katanya.

Iklan

Selain Ariff, Zee Avi, Yuna, Shila Amzah dan Dash Logan, beberapa nama lagi termasuk dalam senarai 10 teratas Young Malaysian Achievers di arena antarabangsa itu.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu"Paris, I'm in Love" itu mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan peminatnya atas sokongan mereka dan berkata dia akan menghasilkan lebih banyak karya muzik di Malaysia.

Majlis penyampaian anugerah itu diadakan bagi menghargai personaliti luar biasa Asia daripada pelbagai bidang dan industri.

Sementara itu, Ariff menasihati pendatang baharu supaya sentiasa yakin dengan yang mereka lakukan serta percay bakat yang mereka miliki.

"Di Malaysia, kita ada banyak bakat. Selalulah mempunyai keyakinan bahawa bakat kita mampu mencapai peringkat tertinggi di pasaran antarabangsa. Sekiranya anda mendapat peluang di peringkat antarabangsa, janganlah lepaskannya. Ketekunan dan dedikasi memainkan peranan besar.

"Pasaran asing amat sukar untuk ditembusi, tetapi saya berterima kasih kepada pasukan pengurusan dan label saya. Mereka membantu mengembangkan dan memperkenalkan muzik saya di seluruh UK. Ada satu kata-kata hikmat yang selalu saya bisikkan kepada diri sendiri ‘memang susah, tapi jika ia senang, semua orang akan melakukannya’,” kata penyanyi berbakat besar itu.

Lagu Ariff AB boleh diikuti melalui instagramnya (ariffab_maravilla), Facebook, Spotify, YouTube, iTunes, SoundCloud dan BandCamp (Ariff AB Music).- Bernama