SHAH ALAM - Yayasan Perpaduan Malaysia amat mengalu-alukan pelancaran ulang tahun ke-50 Rukun Negara dan menyifatkan sambutan itu dibuat tepat pada masanya serta wajar disokong semua pihak.
Pemegang Amanah Yayasan berkenaan, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ketika Rukun Negara diisytiharkan pada tahun 1970 selepas kejadian rusuhan kaum, semua pihak sama ada kerajaan, swasta dan masyarakat amat memberi perhatian dan fokus untuk mempromosi Rukun Negara kepada rakyat.
Bagaimanapun, menurutnya, pada tahun 1990-an Rukun Negara tidak lagi diberi perhatian dan tumpuan, maka dengan adanya sambutan itu ia dilihat boleh memberi pengiktirafan kepada Rukun Negara serta kepentingannya kepada masyarakat.
"Rukun Negara berasaskan kepada lima prinsip yang berhubung dengan kehidupan masyarakat manakala matlamatnya pula tertumpu kepada memperkasakan Malaysia sebagai sebuah negara kukuh dan mempunyai kepelbagaian nilai serta menjadikannya alat pembentukan negara.
"Rukun Negara juga adalah satu falsafah yang harus dijadikan pegangan hidup semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau bangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Lam Thye berkata, Yayasan Perpaduan Malaysia juga ingin mencadangkan agar semua institusi pengajian di negara ini turut mendidik para pelajar akan kepentingan dan nilai-nilai yang dituntut oleh Rukun Negara.
Katanya, graduan hari ini perlulah menjadi insan yang bijaksana, cenderung kepada kebajikan, disulami nilai murni dan paling penting menjiwai negara.
"Justeru, usaha berterusan wajar dilaksanakan di seluruh pelosok negara ke arah memupuk kesedaran untuk menghayati dan mengamalkan Rukun Negara.
"Ini amat penting bagi kerajaan untuk mempromosikan Rukun Negara bagi menerangkan kepada rakyat terutamanya generasi muda apa makna sebenar Rukun Negara, mengapa ia diwujudkan dan tujuannya dari aspek mempromosi keharmonian, hormat-menghormati antara kaum, integrasi serta perpaduan.
"Rukun Negara membolehkan Malaysia menyatupadukan rakyatnya pelbagai kaum dan agama serta menjadi prinsip asas kepada kenegaraan yang perlu disemaikan di sanubari generasi muda kita yang menjadi pemimpin negara pada masa akan datang,” katanya.