Tiga nelayan Vietnam ditahan tangkap ikan secara haram

Iklan
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)

KUCHING - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sarawak menahan sebuah bot nelayan asing bersama tiga rakyat Vietnam kerana menceroboh dan melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan Sarawak pada Khamis lepas.

Pengarah APMM Sarawak Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan dalam kenyataan hari ini berkata, penahanan itu dibuat dalam satu operasi khas oleh pasukan Zon Maritim Tanjung Manis pada jam 6.40 petang di kira-kira 56 batu nautika utara Tanjung Sirik dekat Tanjung Manis.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati kira-kira 100 kilogram ikan pelbagai jenis berada di dalam bot itu manakala tekong dan dua awak-awak gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Berdasarkan kesegaran hasil tangkapan mereka itu, dipercayai bot terbabit baharu sahaja memasuki perairan negara ini,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, bot nelayan berserta hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai RM1 juta dirampas manakala tekong dan dua awak-awak itu yang berumur lingkungan 33 dan 42 tahun dibawa ke Jeti Terminal Penumpang Tanjung Manis untuk menjalani ujian saringan koronavirus (Covid-19) oleh kakitangan Kementerian Kesihatan.

Geok Chuan berkata, tiga rakyat Vietnam itu ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 kerana memasuki dan menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia tanpa kebenaran dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah. - Bernama

Iklan