SHAH ALAM - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa kerajaan agar merangka strategi baharu yang lebih menyeluruh dalam usaha membasmi kemiskinan.
Menurutnya, usaha itu bagi mengelakkan kesilapan mengenal pasti kaum tertentu sebagai golongan miskin yang perlu dibantu kerajaan, susulan semakan semula had pendapatan garis kemiskinan (PGK) daripada RM980 kepada RM2,208.
Katanya, semakan semula PGK penting untuk mencerminkan realiti tahap kemiskinan sebenar kerana sejak pra-pandemik Covid-19, garis kemiskinan nasional disifatkan terlalu rendah dan tidak selari kos kehidupan di negara ini.
"Peningkatan kadar kemiskinan secara drastik akibat krisis ekonomi selepas penularan Covid-19 akan menyukarkan usaha mengenal pasti dan mengklasifikasikan kumpulan B40, M40 serta T20.
"Semua parameter klasifikasi ini kini bertindih dan Malaysia bakal menyaksikan peningkatan kadar kemiskinan merentasi kaum dengan tempias yang paling hebat secara amnya terhadap golongan bumiputera dan India,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2019 telah menunjukkan bumiputera dan India mencatatkan insiden kemiskinan mutlak 7.2 peratus dan 4.8 peratus masing-masing; jauh lebih tinggi berbanding orang Cina dengan insiden kemiskinan 1.4 peratus.
"Walaupun semua lapisan dalam masyarakat akan terjejas, namun impak paling jelas adalah kepada golongan yang ‘professionally, educationally, socially and financially insecure’ khususnya golongan pekerja dan penerima upah.
"Satu-satunya kumpulan kelas menengah yang boleh bertahan ialah penjawat awam,” katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata, berdasarkan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2019 yang dikeluarkan semalam sepatutnya mengambil kira realiti kebanyakan komuniti yang berisiko dihimpit kemiskinan seperti masyarakat asal, pekerja asing dan pelarian sebagai sebahagian daripada asas pengiraan kemiskinan.
Katanya, jika golongan tersebut diambil kira, maka kadar kemiskinan lebih tinggi daripada 5.6 peratus.
"Yang lebih meruncingkan, kadar tersebut pasti telah dan akan meningkat dengan drastik dampak pandemik Covid-19 kerana kehilangan ratusan ribu pekerjaan dan ekonomi yang meleset.
"Malah, Bank Dunia turut menganggarkan secara konservatif 11 juta penduduk di Asia Timur akan terheret ke kancah kemiskinan akibat keruntuhan ekonomi,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, strategi pemulihan dan pembinaan ketahanan ekonomi negara perlu bersifat inklusif dan menterjemahkan kesejahteraan dengan erti kata sebenar.
Katanya, dasar membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat perlu disegerakan dengan merangkumi strategi fokus kepada pemerkasaan dan berasaskan keperluan.
"Justeru, perhatian khusus perlu diberikan kepada golongan miskin bandar dan masyarakat luar bandar kerana mereka menghadapi cabaran berbeza. Masyarakat miskin bandar perlu berdepan krisis kehilangan pekerjaan dan masalah kelangsungan kehidupan kerana kos kehidupan yang semakin mencabar.
"Mereka yang miskin di kawasan luar bandar pula dibelenggu masalah harga komoditi suram, akses kepada pasaran dan produktiviti rendah kerana tiadanya inovasi. Selain insiden kemiskinan mutlak di luar bandar pada 2019 ialah 12.4 peratus, jauh lebih tinggi daripada kadar 3.8 peratus di bandar,” katanya.