SHAH ALAM - UMNO berpendirian bahawa semua kerusi yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) milik parti itu dan perlu ada rundingan jika parti lain mahu mengambilnya.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, Bersatu boleh menerima semua bekas Ahli Parlimen UMNO yang telah lompat parti tetapi tempat kerusi mereka akan diisi oleh calon dari UMNO atau Barisan Nasional (BN).
"Selain itu juga, ingin saya mengingatkan (Tan Sri) Dr Rais Yatim bahawa UMNO tidak akan berkompromi dengan mereka yang cuba menekan parti ini yang akhirnya merugikan orang Melayu,” katanya.
Razlan mengulas kenyataan Anggota Majlis Pimpinan Bersatu itu hari ini yang menyatakan perasaan terkilannya terhadap kepimpinan UMNO yang dilihat lebih mementingkan kerusi yang akan ditandingi berbanding mempertahankan kuasa Melayu Islam.
Mengulas lanjut, Razlan mempersoalkan suara bantahan Bersatu ketika umat Melayu Islam sedang diancam dengan cadangan meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) oleh Pakatan Harapan (PH).
"Di mana suara Bersatu pula ketika Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam 405 (Himpunan 405) membantah dengan mana-mana pihak yang cuba menyentuh institusi Raja-Raja Melayu dan Perlembagaan Negara?" katanya.
Katanya, UMNO juga tidak berminat menjaja cerita pembahagian kerusi calon menjelang Pilihanraya Umum akan datang tetapi yang memulakan sengketa antara rakan parti di dalam Perikatan Nasional diketahui umum datangnya dari Bersatu sendiri.
"Kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Mersing, Dr Abdul Latiff Ahmad yang mengatakan kononnya UMNO sudah 'tidak laku' dan gagal mendapat sokongan rakyat itu sebenarnya berniat jahat walaupun 'salam perkenalan' Perikatan Nasional (PN) telah menunjukkan tanda-tanda positif.
"Seperkara yang Dr Rais Yatim harus sedar ialah kerajaan hari ini dibina dengan sokongan UMNO. Maka tidak menjadi kesalahan sekiranya UMNO diberi kedudukan di pelbagai peringkat termasuk syarikat milik kerajaan (GLC) berdasarkan status sebagai parti di dalam kerajaan,” katanya.
Bagaimanapun beliau secara peribadi berpendapat bahawa UMNO juga tidak ada masalah untuk melepaskan semua jawatan di dalam GLC dan menarik semula sokongan kepada kerajaan PN.