KOTA KINABALU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah menyambut baik kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa kerjasama antara kedua-dua pihak dalam Perikatan Nasional (PN) tidak akan terjejas susulan kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad yang dilihat memperkecilkan UMNO Sabah baru-baru ini.
Ketua Penerangan Bersatu Sabah, Khairul Firdaus Akbar dalam kenyataan hari ini berkata, kebijaksanaan Ismail Sabri dalam menilai isu itu seharusnya dijadikan sebagai asas serta momentum kepada kepimpinan UMNO dan Bersatu di Sabah untuk terus memperkukuhkan kerjasama serta kesepakatan dalam PN.
"Kerjasama antara parti gabungan dalam PN di Sabah iaitu Bersatu, UMNO, STAR, PBS, PBRS dan Pas perlu diperkukuhkan. Ini penting dalam kita berdepan dengan pasca pandemik Covid-19 dan ketidaktentuan ekonomi negara serta dunia.
ARTIKEL BERKAITAN: Kenyataan Abd Latiff tidak cermin pendirian Bersatu: Ismail Sabri
UMNO parti tak laku: Abdul Latiff digesa letak jawatan
Buat apa saya jumpa Asyraf Wajdi: Dr Abdul Latiff
'Abdul Latiff patut berterima kasih pada UMNO'
"PN adalah landasan terbaik untuk kita membantu kerajaan memperkukuhkan lagi ekonomi sekali gus menyatupadukan rakyat agar negara terus kuat dan bersatu. Justeru, kepimpinan parti dalam PN di semua peringkat perlu bersikap lebih terbuka dan efisien ke arah penyatuan dan kebersamaan dalam perikatan,” katanya.
Semalam, Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan (Keselamatan) menyifatkan kenyataan Abdul Latiff bahawa UMNO Sabah tidak lagi laku adalah bersifat peribadi dan tidak mencerminkan pendirian Bersatu dan pemimpin parti itu, khususnya di Sabah, juga dilihat tidak pernah memperkecil atau memburukkan UMNO di negeri tersebut.
Sebelum ini, media melaporkan Abdul Latiff mengeluarkan kenyataan itu dalam sebuah forum terbuka dan video tersebut tular di media sosial.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Mersing itu telah membuat permohonan maaf secara terbuka dan berkata kenyataan beliau mengenai UMNO Sabah disalah tafsir oleh pihak tertentu. - Bernama