ALOR SETAR - Keperluan aset Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan terus dipertingkatkan termasuk kemudahan di udara bagi menghadapi bencana.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, perkara itu sudah dibentangkan oleh Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab selain meneliti aset APM di Selangor, Sabah dan Johor.
Katanya, pembelian aset itu penting dan boleh dikongsi bersama agensi lain.
"Aset sedia ada seperti ambulan juga akan dipertingkatkan lagi untuk keperluan masyarakat," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perjumpaan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Bersama Ketua Pesuruhjaya Dan Warga APM Kedah di Auditorium Pejabat Pertahanan Awam Daerah Kota Setar hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Mastura Mohd Yazid dan Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab.
Mohd Redzuan turut memberi penghargaan kepada anggota APM yang menjadi ‘frontliners’ menangani penularan pandemik Covid-19.
Katanya, APM juga diberi mandat utama untuk mengurus dan menyelia semua stesen kuarantin di seluruh negara yang diwartakan Kerajaan.
"APM juga berperanan penting di semua sembilan lokasi yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selain terus mengoperasikan perkhidmatan kecemasan harian MERS 999.