CAMERON HIGHLANDS - Penduduk di sekitar Brinchang mengeluh susulan pertukaran aliran trafik kepada laluan sehala di kawasan itu, sejak dua tahun lalu.
Wakil penduduk, M Loganathan berkata mereka terpaksa membuat pusingan yang jauh hanya untuk ke stesen minyak atau kedai runcit yang di depan mata.
"Kami pengundi di Brinchang mahu bangkitkan isu jalan sehala di tempat kami. Jalan sehala di Brinchang memang menyusahkan.
"Kami nak pergi stesen minyak dulu sekejap sahaja boleh sampai, sekarang kami kena buat pusingan jauh. Kalau nak beli keperluan dapur pun kena pusing jauh.
"Nak pergi apa-apa majlis pun susah sebab semua jalan sesak," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau menegaskan kerajaan negeri sepatutnya mendengar pandangan masyarakat setempat sekiranya mahu melakukan sebarang perubahan aliran trafik.
"Kerajaan sepatutnya mendengar pandangan orang tempatan bukan pandangan orang luar yang mahukan trafik lancar dengan jalan sehala.
"Sedangkan sekarang keadaan bertambah teruk. Sudah dua tahun kami berdepan masalah trafik di sini," katanya.
Loganathan turut memaklumkan isu itu sudah dibangkitkan pada PRU14.
"Pada pilihn raya lalu kami dah minta supaya selesaikan isu ini tapi nampaknya tidak selesai juga.
"Jadi, sama ada dalam pilihan raya kali ini mereka akan selesaikan atau tidak masalah ini kami tidak tahu," katanya.
Dalam pada itu, Loganathan turut menegaskan sokongan akan kembali kepada BN sekiranya isu itu dapat diselesaikan.
Selain itu, Loganathan turut membangkitkan soal caj parkir yamg tidak munasabah kepada penduduk setempat.
"Hanya ada di Cameron Highlands parkir perlu dibayar 365 hari setahun. Di tempat lain mana ada bayar parkir setiap hari?
"Penduduk tempatan pun kena bayar juga bukan untuk pelancong sahaja. Kami orang setempat, nak singgh kedai sekejap beli barang tak sampai 10 minit, kadang-kadang lima minit sahaja, itu pun kena bayar parkir," katanya.
Tegasnya, pihak berkuasa perlu memberi insentif kepada penduduk setempat seperti pelekat khas supaya tidak dikenakan caj.