JAGUH karate negara Syakilla Salni Jefry Krisnan bakal ‘berguru’ di Amsterdam, Belanda selama tiga bulan dalam usaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas menampilkan prestasi mengecewakan pada Sukan Asia 2018,
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata usaha tersebut merupakan kerjasama persefahaman antara MSN dan Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) melibatkan tiga lagi atlet karate berpotensi - Prem Kumar, P Madhuri dan Somanroy Arulveeran.
Beliau, bagaimanapun berkata hanya Syakilla, 27, yang juga pemenang pingat emas acara Kumite Bawah 61 kilogram (kg) pada Sukan Asia 2014 akan dihantar menjalani latihan di Amsterdam dan menyertai beberapa kejohanan Karate1 (K1) di sana.
"MAKAF dan MSN bersetuju melaksanakan program kelayakan atlet karate ke Sukan Olimpik, dan kita mengenal pasti empat atlet masih mempunyai peluang dan hanya Syakilla mempunyai mata kelayakan yang membolehkan beliau menyertai kejohanan K1 sementara tiga lagi masih belum cukup.
"Kita (MAKAF dan MSN) juga bersetuju dengan cadangan menghantar Syakilla menjalani latihan lebih awal di Amsterdam bersama-sama kumpulan atlet antarabangsa di sana yang juga sedang dalam persiapan awal melayakkan diri ke Sukan Olimpik,” katanya selepas pertemuan antara MAKAF dan MSN di sini, hari ini.
Ahmad Shapawi berkata Amsterdam bukan venue asing bagi Syakilla yang bakal memulakan program tersebut bermula bulan depan memandangkan beberapa rakan kerja MSN yang membantu persiapan skuad karate negara menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, berpangkalan di sana.
"Amsterdam bukan satu tempat asing untuk kita menghantar Syakilla kerana kita mempunyai rakan yang dapat membantu beliau di sana dan mereka itu pernah membantu kita semasa persiapan Sukan SEA lepas,” katanya.
Pada masa sama, beliau memaklumkan tiga lagi atlet karate negara tersebut akan menjalani latihan di dalam negara sebelum menyertai Syakilla yang juga akan beraksi dalam kejohanan Siri A di Austria, Mac depan.
Sebagai rekod, Syakilla diberi pengiktirafan tertinggi apabila dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang pada Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang, Ogos tahun lepas.
Namun, beliau yang merupakan salah seorang prospek emas negara bukan sahaja gagal mempertahankan pingat emas dimenanginya, malah turut gagal menempatkan diri dalam kedudukan podium. - Bernama