KUALA LUMPUR - Pembangunan Pasar Datok Keramat akan dilaksanakan secara berhati-hati dengan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk peniaga, persatuan peniaga dan penduduk.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, projek pembinaan pasar baharu tersebut sepatutnya dilaksanakan tahun ini namun tertangguh susulan beberapa isu teknikal.
Menurutnya, perancangannya akan melibatkan keseluruhan nilai pembangunan dianggarkan RM450 juta yang dilaksanakan secara berfasa bagi tempoh 10 tahun.
"Dalam penyediaan pasar yang lebih selesa dan baik, kita nak pastikan juga pelaksanaannya nanti dapat dijalankan dengan baik. Apabila berpindah tidak akan menimbulkan sebarang masalah.
"Dalam erti kata lain kita tidak mahu dibina pasar baharu tetapi keadaan perniagaan merosot. Situasi itu pernah dialami sebelum ini apabila bangunannya baik tetapi perniagaannya berkurang," katanya pada sesi walkabout di Pasar Datok Keramat di sini hari ini.
Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, Pengarah Eksekutif Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoof dan Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Azmi Abdul Hamid.
Katanya, lawatan tersebut bagi membolehkannya melihat secara dekat suasana dalam pasar tersebut dan mendapatkan pandangan peniaga yang lebih tahu dengan masalah di kawasan itu.
"Kadang kita tengok lukisan pelan nampak cantik, arkitek dan pemaju juga tak nampak masalah tapi penting untuk kita berhubung dengan peniaga yang akan menggunakan kawasan itu nanti.
"Biarlah pasar yang akan dibangunkan nanti dapat memberi rezeki yang lebih kepada penjaja dan boleh menambah ruang perniagaan serta bilangan peniaga baru boleh mengambil bahagian," katanya.
Pasar Datok Keramat yang beroperasi hampir 40 tahun merupakan lokasi mata pencarian buat 330 peniaga yang sedang dalam tindakan pembangunan yang dijangka dilaksanakan awal tahun depan.