BN masih belum buat keputusan pendaftaran PN

Iklan
Hishamuddin Tun Hussein. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) masih belum membuat keputusan berkaitan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) walaupun perkara itu disentuh dalam mesyuarat Pra-Persidangan Parlimen melibatkan Ahli Parlimen BN sebentar tadi.

Menurut laporan MalaysiaGazette, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, belum ada sebarang keputusan dicapai berhubung perkara itu.

Iklan
Iklan

"Perkara itu disentuh dan dimaklumkan Presiden (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) tetapi masih lagi belum ada kata putus.

"Baik tanya pucuk pimpinan parti dahulu,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat itu.

Iklan

Sebelum ini ada desakan dan cadangan supaya PN didaftarkan sebagai sebuah parti secara rasmi selepas gabungan Muafakat Nasional itu berjaya membentuk kerajaan menggantikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tumbang.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, mesyuarat itu membabitkan persiapan menjelang persidangan Dewan Rakyat esok.

Iklan

Menurutnya, BN mengutamakan kesefahaman bukan sahaja dalam kalangan ahli sendiri malah parti lain dalam PN selain mengutamakan perihal rakyat.

"Persiapan untuk esok dibincang, yang penting mesti ada persefahaman sesama kita dan kali ini landskapnya menuntut kita mengambil kira parti-parti lain yang bersama dengan kita yang saya tengok tidak ada timbul masalah sangat untuk kita bersidang kali ini.

"Insya-ALLAH dengan disiplin dan persefahaman yang mendalam sesama kita dan meletakkan kepentingan yang lebih besar terhadap masa depan rakyat, parti, masa depan ummah dan orang-orang Melayu ini adalah perkara-perkara pokok dalam perjuangan kita," katanya.

Hishammuddin turut yakin persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung lancar meskipun sebelum ini banyak pihak menjangkakan sidang itu akan hangat dengan pertikaian daripada parti pembangkang terutama yang mempertikaikan kelayakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

"Perkara yang mustahak adalah kesepaduan dalam membuat apa-apa juga keputusan.

"Saya rasa tidak ada sebab kita tidak boleh bersatu berhadapan perkara yang jelas. Apa yang penting jangan bercakaran dan bertelagah sesama kita,” katanya.