JOHOR BAHRU - Seorang kanak-kanak berusia enam tahun terperangkap dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) semasa ditinggalkan ibunya yang pergi ke rumah jirannya di Bandar Baru Uda di sini hari ini.
Dalam kejadian pada jam 6.21 petang, Mohd Adam Asyraf Mohd Hamizan ditinggalkan seorang diri dalam keadaan enjin MPV Toyota Grand Livina berkenaan masih hidup.
Iklan
Iklan
Apabila ibunya kembali mendapati kanak-kanak tersebut sedang tidur dan pintu MPV tersebut sudah berkunci secara automatik dari dalam.
Orang awam cuba membantu dengan mengetuk cermin kereta bagi menyedarkan mangsa namun tidak disedari sebelum menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin untuk bantuan.
Seramai 11 anggota dari BBP Larkin dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT), sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke tempat kejadian.
Ketua Operasinya, Penguasa Bomba Kanan II Ahmad Nazran Omar berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira lima minit untuk membuka pintu dengan menggunakan peralatan khas.
"Kanak-kanak itu telah terperangkap selama kira-kira 30 minit. Kanak-kanak tersebut selamat dan operasi tamat pada jam 6.41 petang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.