KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat bagi Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 hari ini berlangsung dalam suasana normal baharu mengikut prosedur operasi standard (SOP) Fasa Pemulihan Persidangan Parlimen seperti dinasihatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof berkata, penularan wabak Covid-19 menjejaskan banyak pihak dan memberi kesan kepada rakyat di negara ini.
Justeru menurutnya, semua anggota Parlimen perlu melalui normal baharu bagi mengekang penularan wabak itu sepanjang berada di Dewan Rakyat dengan mematuhi penjarakan sosial dan memakai pelitup.
"Tambahan pula terdapat 87 ahli Dewan Rakyat yang berumur melebihi 60 tahun yang pastinya lebih berisiko.
"Sehubungan itu, Parlimen Malaysia mematuhi SOP bagi memastikan ahli-ahli Yang Berhormat dapat bersidang dengan selamat dan terkawal dan seterusnya mencegah penularan wabak ini,” katanya dalam ucapan pemasyhuran daripada Yang Dipertua di sini hari ini.
Katanya, SOP yang dilaksanakan termasuk hanya 174 anggota Parlimen duduk di dalam ruang utama Dewan Rakyat dan sebahagian penyokong kerajaan dan Bebas ditempatkan di Galeri Awam.
Beliau berkata, sebahagian ahli pembangkang ditempatkan di tempat duduk pegawai sebelah kiri Yang Dipertua manakala pegawai kerajaan yang terlibat dengan urusan jawapan menteri dan timbalan menteri ditempatkan di tempat duduk pegawai di sebelah kanan Yang Dipertua dengan kehadiran yang terhad.
Dalam ucapan itu juga, beliau memberitahu, anggota Parlimen yang duduk di Galeri Awam boleh menggunakan mikrofon yang disediakan atau turun turun ke tempat yang dikhaskan di kerusi belakang Dewan Rakyat untuk pertanyaan atau perbahasan
"Ahli-ahli pembangkang yang duduk di tempat duduk pegawai boleh menggunakan mikrofon yang disediakan atau ke tempat yang disediakan di sebelah kiri Yang Dipertua sekiranya ada pertanyaan atau perbahasan," katanya.
Selain itu, menurut Mohamad Ariff, anggota Parlimen yang berada di Galeri Awam dan di tempat duduk pegawai untuk menyebut nama kawasan mereka sebelum memulakan pertanyaan atau perbahasan bagi mempermudahkan urusan pegawai Parlimen merekod penyediaan penyata rasmi.
"Terdapat beberapa 'blind spot' yang terlindung daripada pandangan Yang Dipertua semasa anggota Parlimen bangun dan sehubungan dengan itu, dipohon anggota Parlimen berdiri, memandang ke arah Yang Dipertua agar dapat melihat kedudukan anggota Parlimen terbabit.
"Bagi urusan pengagihan dokumen Aturan Urusan Mesyuarat, Rang Undang-Undang, laporan dan risalah di Galeri Awam serta tempat duduk pegawai, dokumen tersebut akan ditempatkan di kerusi bersebelahan anggota Parlimen," katanya.
Katanya, kemudahan komputer riba juga tidak dapat disediakan di Galeri Awam dan di tempat duduk pegawai kerana kekurangan soket kuasa bagi pemasangan komputer riba.
Ketika berucap beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan ulang tahun hari lahir ke-95 kepada Ahli Parlimen Langkawi yang juga bekas Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Semoga ALLAH SWT memberi kesihatan yang berpanjangan dan kekuatan tenaga untuk terus berkhidmat bakti kepada Dewan Rakyat dan negara yang tercinta ini,” ujar Mohamad Ariff.
Berkaitan SOP tersebut, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Port Dickson) meminta Dewan Rakyat menyediakan mikrofon untuk setiap anggota Parlimen yang ditempatkan di Galeri Awam dan tempat duduk pegawai bagi melancarkan pertanyaan serta perbahasan.
Permohonan Anwar itu disokong Datuk Seri Bung Moktar Radin (UMNO-Kinabatangan).