Pakej Selangor Prihatin fasa ketiga bangun ekonomi negeri

Iklan
Amirudin membentangkan Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor pada sesi Sidang DUN Selangor di Shah Alam hari ini.
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memperkenalkan Pakej Selangor Prihatin fasa ketiga sebagai satu daya tahan bagi membangunkan semula ekonomi negeri ini yang mengalami kejutan susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, di bawah pelaksanaan inisiatif bagi fasa ketiga ini, kerajaan negeri akan membangunkan Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor yang menekankan kepada tiga tonggak utama dalam menangani impak Covid-19.

Beliau berkata, tiga tonggak itu melibatkan aspek jaminan bekalan makanan (food security), kemampanan ekonomi (economic sustainability) dan pembangunan keupayaan (capacity building).

"Jumlah keseluruhan nilai bagi Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor ini adalah berjumlah RM55.85 bilion," katanya sewaktu membentangkan pelan berkenaan pada sesi Sidang DUN Selangor, di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan Selangor mengumumkan pelaksanaan dua Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin bagi membantu rakyat negeri ini yang terkesan dengan penularan wabak Covid-19.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, sehingga kini, kerajaan Selangor telah membelanjakan sebanyak RM260 juta yang memberi manfaat kepada 3.5 juta rakyat meliputi jumlah 54 peratus.

"Struktur ekonomi kerajaan Selangor pasca Covid-19 akan mengadaptasikan perubahan dan pendekatan baharu dari segi sistem dan pelaksanaannya," katanya.

Di bawah tonggak keselamatan makanan, Amirudin berkata, kerajaan negeri mencadangkan beberapa inisiatif antaranya Agrodata Selangor, Jaminan Bekalan Makanan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Selangor Digital E-Supply Chain (SELDEC).

"Tonggak kemampanan ekonomi pula memberi penumpuan dalam merancakkan lagi pembangunan hartanah, memastikan pengurusan infrastruktur dan perkhidmatan air yang efisien, mengekalkan keseimbangan dalam aliran tunai kerajaan negeri serta lain-lain lagi.

"Bagi tonggak ketiga iaitu Pembangunan Keupayaan, kerajaan negeri akan memberi penekanan dengan memacu pertumbuhan industri aeroangkasa sebagai industri yang bernilai tinggi dengan koordinasi tenaga kerja terdiri dalam kalangan rakyat Selangor.

"Inisiatif pembangunan teknologi dan kemahiran aeroangkasa sangat diperlukan dalam fasa pemulihan ini untuk mengukuhkan lagi rantaian sumber manusia dalam bidang aeroangkasa," katanya.