KUALA LUMPUR - Usul mengosongkan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang Parlimen hari ini berjaya apabila mendapat 111 undian yang bersetuju.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon berkata, seramai 109 anggota Parlimen mengundi tidak bersetuju manakala seorang anggota Parlimen tidak hadir.
Proses pengundian dilakukan secara belah bahagian selepas hampir 12 minit usul tersebut dibahaskan anggota Parlimen.
Muhyiddin (Bersatu-Pagoh) mencadangkan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatan terbabit atas alasan terdapat pencalonan lain.
Persidangan ditangguhkan ke jam 2.30 petang bagi meneruskan usul pencalonan Datuk Azhar Azizan@Harun sebagai Yang Dipertua yang baharu.