KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mempertimbangkan tiga pilihan berkaitan penganjuran Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di negara ini pada November depan dan bersesuaian dengan situasi pandemik Covid-19.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pilihan pertama membabitkan penganjuran persidangan secara maya atau digital sepenuhnya.
Bagaimanapun, bagi pilihan tersebut menurutnya, pihak kementerian bakal berdepan kekangan apabila terdapat lapan zon masa berbeza di antara negara anggota ekonomi APEC.
"Kita berjaya di peringkat pegawai dan saya percaya perkara ini boleh dipertimbangkan.
"Opsyen kedua yang sedang dipertimbangkan ialah menggunakan hibrid. Mungkin sebahagiannya hadir bagi negara yang diisytiharkan zon hijau dan negara lain buat secara virtual.
"Ketiga kita mungkin mengambil slot penganjuran pada 2023 yang belum ada penganjur. Perkara ini sedang dalam pertimbangan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan oleh Datuk Ignatius Darell Leiking (Warisan-Penampang) pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini hari ini.
Menurutnya, Malaysia tekad melaksanakan tanggungjawab dan amanah sebagai Pengerusi APEC bagi tahun ini.
"Dalam hal ini, Malaysia telah mengambil langkah proaktif bagi meneruskan program kerja APEC dengan mengguna pakai format persidangan secara maya atau digital di peringkat kumpulan kerja dan pegawai kanan APEC,” katanya.