Patuh SOP ketat semasa perlumbaan di Litar Jerez

Iklan
Semua pasukan MotoGP perlu patuh SOP yang ketat semasa kejuaraan perlumbaan kelas utama dua roda disambung semula di Litar Jerez, Sepanyol, hujung minggu ini. Foto: 123RF

KUALA LUMPUR - Setiap ahli dalam pasukan MotoGP perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat semasa kejuaraan perlumbaan kelas utama dua roda disambung semula di Litar Jerez, Sepanyol, hujung minggu ini.

Langkah tersebut penting untuk mengekang penyebaran pandemik Covid-19 yang telah menjadi ancaman seluruh dunia, kata presiden Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM), Jorge Viegas; Presiden Persatuan Pasukan Perlumbaan Jalan Raya Antarabangsa (IRTA), Herve Poncharal dan Ketua Pegawai Eksekutif Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta dalam kenyataan bersama pada Ahad.

Iklan
Iklan

Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia 2020 telah ditangguhkan sejak Mac dan akan disambung semula hujung minggu ini di Litar Jerez, bermula dengan sesi ujian pada Khamis dan diikuti sesi latihan rasmi pada Jumaat serta sesi kelayakan pada Sabtu sebelum perlumbaan pada Ahad.

"Kami harus mengambil kesempatan ini untuk memberi peringatan kepada semua tentang kepentingan langkah-langkah keselamatan dan prosedur perubatan yang memungkinkan kita semua kembali ke litar.

Iklan

"Sebelum tiba di Litar Jerez-Angel Nieto, kami mengingatkan kepada semua bahawa selepas anda diuji, setiap ahli paddock harus melakukan kawalan kendiri sebanyak mungkin dan mengelakkan hubungan yang tidak perlu dengan orang lain sehingga pada waktu tiba di litar,” kata kenyataan itu.

Perlumbaan hujung minggu ini akan diadakan di bawah kebiasaan baharu dengan protokol perubatan yang lebih komprehensif yang akan diperkenalkan bagi memastikan semua yang hadir ke perlumbaan itu akan mematuhi standard keselamatan tertinggi yang ditetapkan oleh FIM, IRTA dan Dorna Sports.

Iklan

"Adalah penting semua peraturan mengasingkan diri dipatuhi dengan ketat dan semua peserta hanya boleh pergi ke litar dan hotel sahaja. Kami akan ketiadaan banyak ahli paddock dan kami berterima kasih atas usaha mereka yang bekerja dari jauh dan kami juga buat masa ini akan kehilangan peminat kami di grandstands," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang didapati melanggar protokol perubatan di dalam dan luar litar.

"Sebarang pelanggaran protokol perubatan akan diambil serius dan tindakan segera akan diambil oleh pihak penganjur," kata kenyataan itu.

Perlumbaan Grand Prix Sepanyol hujung minggu ini turut melibatkan pasukan MotoGP negara, Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) dan tiga pelumba negara iaitu Hafizh Syahrin Abdullah (Aspar Team) dan Kasma Daniel Kasmayudin (ONEXOX TKKR SAG Team) dalam kelas Moto2 serta Khairul Idham Pawi (Petronas Sprinta Racing) dalam kelas Moto3. - Bernama