Lelaki dijel 12 tahun, 10 sebatan miliki dadah

Iklan

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku salah atas dua pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis dan methamphetamine seberat 282.21 gram pada Jun tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu selepas M Karunanithi, 49, mengaku bersalah atas dua pertuduhan dihadapkan ke atasnya.

Iklan
Iklan

Bagi pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis, mahkamah memerintahkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan manakala dihukum penjara dua tahun bagi kesalahan memiliki 1.80 gram methamphetamine.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 10 Jun 2019.

Iklan

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 280.41 gram dan 1.80 gram methamphetamine di tepi jalan susur masuk Desa Green, Taman Desa, Brickfields di sini jam 3.15 petang pada 10 Jun 2019.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

Iklan

Bagi kesalahan memiliki methamphetamine pula, pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya S Kirubini berkata, hukuman berat wajar dikenakan kerana kesalahan serius dan dadah dimiliki tertuduh banyak serta mempunyai nilai pasaran tinggi.

"Harga pasaran satu gram kanabis adalah dalam anggaran RM50. Kesalahan melibatkan dadah berbahaya adalah satu kesalahan yang serius, lebih-lebih lagi bila melibatkan kuantiti yang banyak.

"Hukuman berat wajar dikenakan untuk menghalang tertuduh daripada melakukan kesalahan yang sama, di samping itu ini dapat menjadi pengajaran kepada orang ramai supaya menjauhi kesalahan sama," katanya.

Peguam Ghazali Nik Taib yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dikenakan memandangkan anak guamnya membuat pengakuan bersalah sekali gus menjimatkan masa serta kos mahkamah.