Stor simpan ketum bawah tanah diserbu

Iklan
Antara daun dan air ketum yang dirampas dalam serbuan di rumah suspek, petang semalam. -Foto ihsan IPD Hulu Terengganu

HULU TERENGGANU - Seorang 'tauke' ketum tidak serik menjadikan rumah didiami sebagai 'kilang' memproses dan membungkus barang terlarang itu meskipun sebelum ini pernah beberapa kali ditangkap polis dan dikenakan hukuman.

Malah, lelaki berusia 58 tahun itu kini semakin berani apabila menggunakan taktik baharu membina 'stor' dengan menggali lubang bawah rumahnya untuk menyembunyikan daun dan air ketum yang siap diproses.

Iklan
Iklan

Taktik lelaki itu yang menutup 'lubang' rahsia dibuat dengan papan lantai rumah bagi mengaburi mata pihak berkuasa terbongkar dalam serbuan di rumahnya di Kampung Sungai Binjai, Ajil di sini petang semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 6 petang, selain taktik suspek dibongkar, turut dirampas daun ketum bernilai RM750 dan air ketum bernilai RM295.

Iklan

Menurut sumber, semasa serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu, suspek didapati berada di hadapan rumah disyaki sedang menunggu pelanggan.

"Pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek tidak menjumpai apa-apa barang salah sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan di dalam rumah dan menemui satu tong berisi 45 paket plastik disyaki berisi air ketum diletakkan dalam kabinet dapur.

Iklan

"Seterusnya, pemeriksaan di belakang rumah menjumpai satu raga berisi daun ketum yang diletakkan di atas lantai kayu sebelum mendapati terdapat satu keping papan lantai yang tidak dipaku.

"Setelah dibuka papan lantai tersebut, anggota menjumpai satu lubang yang disimpan daun ketum dan 50 paket plastik diikat dipercayai air ketum yang sudah dimasak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sumber berkata, siasatan awal mendapati suspek memasak sendiri daun ketum yang tumbuh meliar di belakang rumah serta ada juga sebahagiannya dibeli daripada jiran dan penduduk berhampiran.

"Sepanjang menjalankan urusniaga barang salah ini, suspek menjadikan rumahnya sebagai tempat memproses dan membungkus air ketum yang dijual dengan harga RM5 bagi setiap bungkus.

"Siasatan mendapati suspek mempunyai pelanggan tetap terutama dalam kalangan penduduk di sekitar Kampung Sungai Binjai, Landas dan Jerangau di sini.

"Kali ini bagi mengaburi mata pihak berkuasa, suspek sanggup membina 'stor' rahsia untuk menyembunyikan barang salah tersebut tetapi tidak berhasil," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan serbuan dan tangkapan suspek.

Suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 30(5) Akta Racun 1952 (Pindaan 2003).