SHAH ALAM - Sebanyak 90 kes keganasan rumah tangga direkodkan di Selangor sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.
Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, berdasarkan rekod yang diperoleh, kes keganasan rumah tangga mencatatkan peningkatan pada Mac ke April berbanding tempoh sama tahun lalu.
Beliau berkata, kawasan Kota Anggerik merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 10 kes, diikuti Bukit Gasing (tujuh) dan Bukit Lanjan (empat).
"Jumlah panggilan talian khas bantuan keganasan yang dijalankan dengan kerjasama kerajaan negeri dan Organisasi Pertolongan Wanita (WAO) juga meningkat dengan sebanyak 266 panggilan pada Januari.
"Pada Februari pula merekodkan 250 kes, Mac (361 kes) dan April meningkat ketara kepada 898 kes,” katanya ketika sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Siti Mariah (Amanah-Seri Serdang) berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Elizabeth Wong (PKR-Bukit Lanjan) berhubung kes keganasan rumah tangga di negeri ini.
Mengulas lanjut, Mariah berkata, golongan wanita di negeri ini disaran agar mengetahui hak masing-masing dan mendapatkan bantuan sekiranya dikasari pasangan mereka.
"Keganasan rumah tangga adalah masalah mental suami, jadi semua perlu peka dan mainkan peranan untuk membanteras penyakit ini,” katanya.