KUALA LUMPUR- Padah memiliki dadah jenis kanabis dan methamphetamine dengan berat 282.21 gram, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu ke atas M Karunanithi, 49, selepas dia mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dihadapinya.
Bagi pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis, mahkamah memerintahkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan manakala memiliki 1.80 gram methamphetamine dia dipenjara dua tahun.
Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 10 Jun 2019.
Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 280.41 gram dan 1.80 gram dadah methamphetamine di tepi jalan susur masuk Desa Green, Taman Desa, Brickfields di sini pada 3.15 petang, 10 Jun 2019.
Dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.
Bagi pertuduhan memiliki methamphetamine pula, mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya S Kirubini berkata, kuantiti dadah yang ada pada tertuduh adalah banyak dan nilainya sangat tinggi di pasaran dan ia merupakan faktor yang penting dalam menjatuhkan hukuman.
"Harga pasaran satu gram kanabis adalah dalam anggaran RM50. Kesalahan melibatkan dadah berbahaya adalah satu kesalahan yang serius, lebih-lebih lagi bila melibatkan kuantiti yang banyak.
"Kesalahan ini serius dan ia wajar dengan hukuman yang berat dan untuk menghalang tertuduh daripada melakukan kesalahan yang sama, ini dapat menjadi tauladan dan pengajaran kepada orang ramai supaya menjauhi kesalahan yang serupa," katanya.
Tertuduh yang diwakili Peguam Ghazali Nik Taib memohon agar anak guamnya dikenakan hukuman yang ringan memandangkan anak guamnya membuat pengakuan bersalah dan ia menjimatkan masa serta kos mahkamah.