JERANTUT - Pasangan suami isteri di Kampung Dusun Kalong, Ulu Cheka di sini, nekad untuk bersedekah semua hasil durian jenis kampung kepada pelancong dan rakan yang datang menziarahinya.
Ishak Bidin, 62, berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati pokok duriannya berbuah lebat dan terasa terpanggil untuk berkongsi rezeki tersebut dengan individu lain.
Menurutnya, pemberian durian secara percuma itu sudah dilakukan sejak tahun lalu dan diteruskan lagi pada tahun ini bagi mengelak buah rosak jika terlalu banyak.
"Kalau ada tetamu yang datang ke rumah, saya pasti akan bawa mereka ke kebun dan hidangkan durian secara percuma.
"Jadi, mereka boleh makan sebanyak mana yang mampu. Lagipun tujuan saya buat semua ini untuk berkongsi rezeki dengan semua orang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Warga emas itu memiliki kebun seluas lebih dua hektar peninggalan arwah bapa mertua yang ditanam dengan pelbagai pokok buah-buahan seperti durian jenis kampung, dokong, pulasan dan rambutan.
Katanya, dia bersama isteri, Sutinah Daud, 59, mengambil keputusan untuk menetap di Kampung Dusun Kalong bagi memajukan kebun yang sebelum ini kurang diberi perhatian dan kini selepas tiga tahun banyak hasil dapat diraih.
Ishak menambah, dia turut menyediakan dua buah inap desa dalam suasana kebun yang menawarkan udara yang nyaman dan segar.
"Tetamu yang menginap di inap desa saya juga akan diberi peluang mengutip durian setiap pagi sambil menjamu selera di kawasan kebun dan tepi kolam ikan air tawar.
"Justeru, pengunjung boleh memilih sendiri pokok mana yang diinginkan kerana kualiti raja buah jenis kampung berbeza," katanya.
Ishak berkata, dianggarkan 50 hingga 200 kilogram (kg) durian berjaya dikumpul setiap hari.
"Durian yang tidak habis dimakan oleh pengunjung akan dijadikan tempoyak setiap minggu. Permintaan terhadap produk hiliran itu begitu menggalakkan dan dijual dengan harga RM30 sekilogram," katanya.