Menguruskan Parlimen dalam era politik rapuh

Iklan

PERSIDANGAN Dewan Rakyat semalam merupakan sidang penuh pertama sejak Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan Persekutuan pada Mac lalu ekoran pergolakan dalam Pakatan Harapan (PH) sehingga menyaksikan perpecahan dalam parti gabungan itu.

Semasa Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 pada 18 Mei lalu, persidangan dibuat tanpa perbahasan dan hanya dibuat dalam tempoh setengah hari.

Iklan
Iklan

Mesyuarat itu pada asalnya dijadualkan pada 9 Mac sehingga 16 April, namun ditukar kepada persidangan sehari berikutan penularan wabak Covid-19 dan hanya menyelesaikan urusan titah diraja.

Kali ini, persidangan penuh dijalankan menyaksikan blok kerajaan diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin (Bersatu-Pagoh) manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Port Dickson) diangkat sebagai Ketua Pembangkang pada hari pertama pembukaan Dewan Rakyat.

Iklan

Sejumlah usul diterima daripada pihak kerajaan dan pembangkang dengan usul utama yang dibentangkan semalam ialah usul daripada Muhyiddin bagi mengosongkan kerusi Speaker yang sebelum itu dipegang Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Mohamad Ariff yang merupakan bekas hakim Mahkamah Rayuan dilantik ketika pemerintahan PH selepas PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018.

Iklan

Menariknya, usul itu juga bagaikan memberi gambaran sokongan ahli Parlimen ke atas Muhyiddin kerana ia dilihat sebagai kayu pengukur kekuatan sokongan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun akhirnya berjaya dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu selepas usul berkenaan diluluskan.

Mohamad Ariff

Biarpun berjaya, namun usul berkenaan hanya mendapat sokongan 111 undi ahli Parlimen manakala 109 pula membangkang. Seorang ahli Parlimen PN tidak hadir kerana sakit.

Yang pasti, majoriti tipis itu jelas mencerminkan kedudukan kerajaan pimpinan Muhyiddin yang agak rapuh apabila usul penuh bersejarah itu cuma dibezakan dengan dua undi.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani melihat bahawa Muhyiddin perlu melakukan sesuatu supaya beliau boleh mendapatkan sokongan yang lebih besar dalam memastikan kedudukannya selamat selepas ini.

Berkompromi

"Paling baik untuknya adalah mencari dan berkompromi dengan pihak yang berada dalam PH. Tidak kisah daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah), DAP, Parti Warisan Sabah (Warisan) atau berbaik semula dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Sekurang-kurangnya beliau ada tambahan sokongan yang mencukupi. Kalau dapat 120 ke atas mungkin selamat tetapi tidak memberi jaminan kerajaan itu stabil. Dulu PH pun ada lebih 120 kerusi tetapi bergolak juga.

"Walau macam mana sekalipun, lagi banyak sokongan lebih baik. Muhyiddin perlu cari jalan berunding dan selesaikan isu-isu yang berbangkit seperti ekonomi. Rakyat memang beri sokongan kepada Muhyiddin tetapi 222 ahli Parlimen tidak seperti itu. Beliau kena tarik pihak yang menentang supaya sokong dirinya,” kata ahli akademik itu kepada Sinar Harian semalam.

Bagaimanapun, Mohd Azizuddin mengakui, beliau tidak melihat PRU15 sebagai jalan penyelesaian terbaik untuk Muhyiddin meraih sokongan.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini juga merekodkan sejarah baharu buat negara selepas Ahli Parlimen Pengerang daripada Barisan Nasional, Datuk Seri Azalina Othman Said menjadi wanita pertama dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat menggantikan Nga Kor Ming daripada DAP.

Muhyiddin tidak boleh menunggu lama untuk bertindak mencari mandat yang lebih besar memandangkan blok pembangkang kini dibarisi ‘harimau-harimau’ besar antaranya Anwar, Lim Kit Siang (DAP-Iskandar Puteri) dan Mohamad Sabu (Amanah-Kota Raja).

Malah buat pertama kali dalam sejarah, pembangkang kini diperkuat dengan blok Bebas diketuai Dr Mahathir (Bebas-Langkawi) dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna).Mengambil contoh usul mengosongkan kerusi Speaker semalam, pembangkang dan blok Bebas bersatu hati bagi memastikan matlamat mereka tercapai. Mereka bergabung menentang dengan jumlah undi 109 berbanding 111 yang diperoleh PN.

Kesemuanya lantang dalam mengeluarkan hujah supaya Mohamad Ariff dan Kor Ming dikekalkan dengan alasan tiada merit untuk mereka mengosongkan jawatan berkenaan.

Kerjasama pembangkang

Penganalisis sosiopolitik daripada Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, apa yang dipamerkan oleh gabungan pembangkang dan blok Bebas itu merupakan satu lonjakan baharu ketika perbahasan di Dewan Rakyat dan boleh dijadikan sebagai model kerjasama pada masa akan datang.

"Sebenarnya apa-apa isu yang tidak dipersetujui secara dasarnya oleh PH, juga akan disokong oleh Bebas. Ini adalah satu cara kerjasama yang patut dijadikan model kerjasama pada masa akan datang.

"Walaupun sekarang ini kita tahu dalam isu calon perdana menteri PH, misalnya, masih lagi hangat dibincangkan seolah-olah tidak ada kata putus namun ia perlu dilihat dalam konteks matlamat bersama pembangkang. Isu yang paling besar nanti adalah isu undi tidak percaya yang mungkin diadakan nanti,” katanya.

Ditambah dengan kehadiran nama-nama besar jagoan politik yang berpengalaman, Awang Azman menambah, ia boleh menggoncang kerajaan Perikatan Nasional yang mempunyai sokongan tipis di Parlimen.

"Kita tahu di pihak PH atau Bebas mempunyai tokoh-tokoh yang sudah lama dikenali seperti Anwar, Mat Sabu, Kit Siang, Lim Guan Eng, Nurul Izzah Anwar dan banyak lagi. Mereka dikenali sebagai ahli politik yang mampu berbahas dengan baik di Dewan Rakyat.

"Dengan latar belakang yang begitu kuat ini, adalah sukar untuk pihak Perikatan Nasional berdepan dengan mereka tanpa persediaan yang mencukupi,” katanya.

Azhar Azizan, Azalina - Foto Bernama

Selain itu, menurut Awang Azman, kehadiran Dr Mahathir dengan kredibiliti dan pengaruh kuat dalam Bersatu juga mampu memberi kesulitan kepada Perikatan Nasional dan bila-bila masa sahaja mampu mengatur langkah untuk mencuri sokongan.

"Kelebihan Dr Mahathir perlu digunakan bagi mengukuhkan pendirian, sikap, kesatuan dan kerjasama yang padu untuk memastikan PN tidak mudah untuk melakukan atau bertindak meskipun sekarang ini beliau berada dalam kerusi Bebas di Dewan Rakyat,” katanya.

Bagi berdepan dengan kekuatan yang dimiliki pembangkang, barisan pemain politik daripada PN perlu melakukan persediaan rapi untuk berhujah di Dewan Rakyat dan tidak hanya mengharapkan muka sama seperti Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Semua itu perlu dalam usaha memastikan blok Muhyiddin memiliki pemain politik yang sama hebat atau lebih berani ke hadapan dalam mempertahankan matlamat dan dasar kerajaan.

Yang pasti, perjalanan 24 hari lagi sidang di Dewan Rakyat bagi Perikatan Nasional bukan mudah. Dengan mandat tipis, Muhyiddin perlu melakukan sesuatu sama ada untuk memujuk lebih ramai ahli Parlimen pembangkang bersamanya, atau membiarkan para pengundi menentikan nasib politik menerusi PRU15.