Usul pengosongan jawatan ikut perlembagaan

Iklan
Dr Shamrahayu

KUALA LUMPUR - Usul kerajaan supaya Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dilakukan mengikut perlembagaan dan adalah sah, kata Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz.

Beliau menjelaskan, apabila sesuatu usul telah diterima oleh Speaker untuk dimasukkan dalam agenda, sebenarnya ia telah diputuskan sebagai sah, mengikut Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Iklan
Iklan

"Kalau kita lihat pada persidangan pagi tadi, ia adalah sejarah bagi negara, sebab pertama kali usul dibuat untuk mengosongkan jawatan Speaker.

"Pada pendapat saya, apabila meneliti peruntukan undang-undang, sama ada Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, ia (usul itu) menepati peraturan ditetapkan,” kata beliau ketika ditemu bual dalam program ‘Malaysia Petang Ini’, terbitan Bernama TV hari ini.

Iklan

Terdahulu ketika Persidangan Dewan Rakyat, usul kerajaan untuk Mohamad Ariff mengosongkan jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat diluluskan dewan meskipun pada awalnya mendapat bantahan keras daripada pihak pembangkang.

Usul itu diluluskan melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 111 Ahli Parlimen bersetuju manakala 109 lagi tidak bersetuju dengan usul berkenaan.

Iklan

Ia dicadangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas alasan terdapat pencalonan lain bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat ke-10 hari ini.

Azhar merupakan calon tunggal yang dikemukakan untuk memegang jawatan itu yang diusulkan oleh Perdana Menteri mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Justeru, Shamrahayu menyifatkan usul itu adalah pengalaman baharu bagi sistem demokrasi di negara ini.

"Keputusan adalah majoriti tipis tetapi kalau dilihat di sudut undang-undang keputusan kecil atau besar, ia tetap satu majoriti. Apa yang perlu ditonjolkan ia memberi hak kepada setiap ahli dewan menyatakan undinya secara sedar.

"Ini bermakna keputusan itu mendapat keyakinan walaupun berbeza satu atau dua undi, ia adalah satu keputusan majoriti,” kata beliau. - Bernama