Maghi candat sotong dalam normal baharu

Iklan
Peserta menyertai aktiviti candat di perairan Pulau Kapas.

MARANG - Keseronokan mencandat terutamanya apabila umpan dimakan sotong antara sebab seorang pengamal media sosial, Halimatu Sa’adiah Ab Wahab, 31, tidak melepaskan peluang melakukan aktiviti itu saban tahun sejak 2012.

Kehebatan 'ratu candat sotong' ini terbukti apabila berjaya 'mengaut' 3.9 kilogram sotong sekali gus mendapat tempat kedua kategori tangkapan sotong terbanyak individu (media) sempena Program Maghi Candat Sotong Terengganu 2020 di perairan Pulau Kapas di sini.

Iklan
Iklan

Menurut Halimatu Sa’adiah, beliau mula menyertai aktiviti candat ketika menuntut di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 2012 setelah diajak pensyarah dan rakannya.

Halimatu Sa'adiah menunjukkan antara hasil tangkapannya.

Majlis penyampaian hadiah Program Maghi Candat Sotong Terengganu 2020 itu disempurnakan oleh Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman di Jeti Pelancongan Marang di sini.

Iklan

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ab Rasid Jusoh dan Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.

Pada majlis itu, Pejabat Daerah dan Tanah Marang diumumkan sebagai juara bagi kategori sotong terbanyak berkumpulan manakala bagi kategori individu pula dimenangi oleh Zamri Muda (Pejabat Daerah dan Tanah Marang) sementara kategori media dimenangi oleh M Zulhamizan Sobri (Manis FM).

Iklan

Seramai 160 peserta termasuk penggiat industri pelancongan dan pengamal media menyertai program pertama pelancongan bagi Terengganu selepas pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun lalu.

Ariffin bersama penganjur dan peserta Program 'Maghi Candat Sotong' Terengganu 2020.

Sementara itu, Ariffin ketika ditemui berkata, program itu juga menyaksikan pengamalan kepada normal baharu penganjuran acara dengan pelaksanaan serta pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Semua pelancong perlu sentiasa mematuhi peraturan dan SOP yang ditetapkan kerana wabak Covid-19 masih belum berakhir,” katanya.