KUALA LUMPUR - Tiga premis makanan di sekitar ibu negara diarah tutup berkuat kuasa hari ini selepas pemeriksaan mendapati tahap kebersihannya tidak memuaskan.
Unit Media Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan memaklumkan premis itu dikesan tidak mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan selepas diperiksa oleh Unit Sanitasi Premis, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL semalam.
Menurut kenyataan itu, premis terbabit juga didapati tidak dipasang alat perangkap minyak dan pekerja tiada suntikan typhoid.
"Selain keadaan premis berdaki hitam dan kotor, pengusaha premis juga didapati tidak menggunakan produk biodegradasi.
"Sehubungan itu, dalam operasi bermula jam 4 petang, kesemua premis diarah tutup di bawah Akta Makanan 1983 berkuatkuasa hari ini," menurut kenyataan itu.