LKAN 2018 Siri 3: 12 pengauditan, 63 syor

Iklan
Nik Azman Nik Abdul Majid

PUTRAJAYA - Sebanyak 12 pengauditan prestasi bernilai RM742.476 bilion dilaksanakan sempena Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 3 melibatkan program, aktiviti dan projek di 10 kementerian dengan 63 syor dikemukakan terhadap aktiviti kementerian, jabatan dan badan berkanun Persekutuan bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil.

Jabatan Audit Negara (JAN) sempena LKAN 2018 Siri 3 itu juga telah menjalankan pengauditan prestasi terhadap 17 program, aktiviti dan projek yang melibatkan 22 jabatan dan agensi kerajaan negeri; serta 13 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan negeri, yang melibatkan 12 negeri kecuali Perlis.

Iklan
Iklan

Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid dalam kenyataan hari ini berhubung LKAN 2018 Siri 3 itu berkata, sebanyak 122 syor telah dikemukakan untuk dipertimbangkan jabatan dan agensi negeri berkenaan untuk membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil.

LKAN 2018 Siri 3 dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini setelah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Iklan

Nik Azman berkata, pengauditan prestasi dijalankan selaras dengan Seksyen 6 (d), Akta Audit 1957 serta berpandukan kepada piawaian pengauditan antarabangsa yang dikeluarkan oleh The International Organisation of Supreme Audit Institutions (INTOSAI).

Menurutnya, pengauditan prestasi yang dijalankan bertujuan untuk menilai sama ada aktiviti dan projek kerajaan dilaksanakan dengan berhemat, cekap dan berkesan serta sejauh mana objektif aktiviti dan projek tersebut telah tercapai.

Iklan

"Ia juga bertujuan untuk menilai sejauh mana wang awam telah dibelanjakan dengan berhemat, cekap dan berkesan tanpa berlaku pemborosan dan pembaziran serta mendapat nilai terbaik untuk wang,” katanya.

Mengenai 12 pengauditan prestasi di kementerian, Nik Azman berkata, sebanyak 10 pengauditan melibatkan kategori program dan aktiviti, manakala masing-masing satu melibatkan kategori pembinaan; dan sistem atau teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Bilangan aktiviti yang diaudit dan dilaporkan pada LKAN kali ini mengikut kementerian adalah Jabatan Perdana Menteri (dua aktiviti), Kementerian Kewangan (dua aktiviti), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (dua aktiviti) serta Kementerian Pendidikan (dua aktiviti).

Di samping itu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Kerja Raya masing-masing satu aktiviti dan dua aktiviti melibatkan Majlis Keselamatan Negara (bersama kementerian lain).

Mengulas lanjut, Nik Azman berkata, secara keseluruhannya pelaksanaan program, aktiviti dan projek kerajaan Persekutuan telah dilaksana mengikut objektif yang ditetapkan.

Namun katanya, masih terdapat isu ketidakcekapan dan ketidakaturan serta kelemahan dalam pengurusan program, aktiviti dan projek yang menjejaskan kecekapan dan keberkesanannya bagi menghasilkan output, outcome dan impak seperti yang diharapkan.

"Dengan kata lain, program, aktiviti atau projek tidak memberikan outcome atau impak yang optimum seperti diharapkan," katanya.

Nik Azman berkata, semua pegawai pengawal dan ketua jabatan yang berkenaan telah dimaklumkan terlebih dahulu mengenai perkara yang dilaporkan dalam LKAN untuk tujuan pengesahan.

"Exit Conference (mesyuarat penutupan) juga telah didakan bagi tujuan membincangkan penemuan audit dan mendapatkan penjelasan serta maklum balas terhadap isu-isu berbangkit," katanya.

LKAN Mengenai Aktiviti Kementerian dan Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-badan Berkanun Persekutuan bagi 2018 Siri 3 akan dimuat naik di laman web Jabatan Audit Negara selepas pembentangannya di Dewan Rakyat.

Orang awam boleh melayarinya di alamat http://www.audit.gov.my mulai hari ini (14 Julai) selepas pukul 10 pagi.

Bagi LKAN peringkat negeri pula yang melibatkan 12 negeri hanya akan dimuat naik di laman web Jabatan Audit Negara selepas pembentangannya di Dewan Undangan Negeri masing-masing.

Isu-isu dalam LKAN 2018 Siri 3 juga akan dimuat naik di portal Auditor General's Dashboard (AGD) pada hari ini mulai jam 3 petang.

LKAN 2018 Siri 1 telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 15 Julai 2019 manakala Siri 2 pada 2 Disember 2019.

Nik Azman berkata, LKAN kebiasaannya dibentang sebanyak dua siri sahaja setiap tahun namun untuk LKAN 2018 Jabatan Audit Negara menerbitkan tiga siri LKAN berikutan penambahan bilangan pengauditan yang dilaksanakan pada tahun 2018/2019.

Menurutnya, LKAN 2018 Siri 3 pada asalnya dijadualkan untuk dibentang dalam sidang Dewan Rakyat pada Mac 2020 namun penangguhan sidang Dewan Rakyat dan Perintah Kawalan Pergerakan akibat koronavirus (Covid-19) menyebabkan kerja-kerja pemuktamadan LKAN 2018 Siri 3 turut terjejas.

"Walaupun terdapat kelewatan dalam pembentangannya di Dewan Rakyat, namun nilai penemuan audit dan lesson learnt yang dilaporkan dalam LKAN 2018 Siri 3 ini masih relevan dalam menambah baik pengurusan program dan aktiviti kerajaan serta pengurusan syarikat kerajaan negeri," katanya. - Bernama