KOTA BHARU - Kekecohan pembangkang di Parlimen semalam terutamanya melibatkan isu pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu dilihat sebagai tidak menghormati sistem demokrasi negara.
Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dalam satu kenyataan berkata, Dewan Rakyat semalam bersetuju untuk memilih dan melantik Datuk Azhar Azizan@Harun sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Timbalan selepas tampuk pimpinan beralih kepada gabungan Perikatan Nasional.
Menurutnya, pelantikan tersebut sebenarnya tidak bercanggah dengan perlembagaan dan peraturan mesyuarat kerana usul yang dibawa oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah diterima oleh bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk dibahas oleh ahli-ahli Dewan Rakyat mengikut lunas perlembagaan dan peraturan mesyuarat.
"Kekecohan yang sengaja ditimbulkan oleh pihak pembangkang dapat diterjemahkan sebagai tindakan tidak menghormati sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan sejak sekian lama di negara ini.
"Kita seharusnya menghormati usul ini kerana ianya dibawa oleh Perdana Menteri, sewajarnya kita hormati dan beliau berhak untuk mengemukakan usul melantik Yang Dipertua Dewan yang difikirkan boleh bekerjasama dengan kerajaan, adil serta tidak berat sebelah.
"Perdana Menteri juga pastinya akan memilih individu yang difikirkan berdiplomasi dan mampu berunding dengan ahli Dewan Rakyat kerana terlalu banyak urusan mesyuarat yang berkaitan dengan kerajaan berlangsung sepanjang persidangan," katanya.
Ahmad Jazlan berkata, urusan mesyuarat merupakan urusan yang melibatkan kepentingan rakyat dan pelantikan ini seharusnya melangkaui kepentingan mana-mana satu parti yang ada di dalam Dewan Rakyat.
Beliau yang juga Pengerusi UMNO Kelantan berkata, Azhar Azizan merupakan individu yang sesuai menyandang jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan diyakini akan menjalankan tugas yang diamanahkan dengan adil dan saksama demi kepentingan rakyat di negara ini.
"Beliau merupakan pengamal undang-undang sejak lebih 30 tahun yang lalu. Tan Sri Muhyiddin telah memilih individu yang terbaik sebagai calon Yang Dipertua Dewan Rakyat dan ia sewajarnya disokong oleh semua pihak di dalam Dewan Rakyat.
"Saya merakamkan ucapan setinggi–tinggi tahniah kepada Azhar dan Azalina di atas pelantikan ini," katanya.