KUALA LUMPUR - Kerugian membabitkan kes penipuan penjualan topeng muka mencecah RM8.2 juta sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu hingga kelmarin.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, bagi tempoh berkenaan, sebanyak 789 kes telah direkodkan.
"Daripada jumlah kes itu, JSJK telah menangkap seramai 204 orang yang mana 78 telah dituduh di mahkamah.
"Siasatan polis mendapati antara kes yang dilaporkan adalah disebabkan sikap tamak seseorang itu membuat pembelian topeng muka dalam kuantiti yang besar dari China. Namun, setelah membuat pembayaran, barang yang ditempah tidak sampai atau tersangkut akibat PKP," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, suspek konon mendakwa dari China, namun transaksi wang dibuat mangsa adalah ke atas akaun milik warga tempatan yang berperanan sebagai keldai akaun.
Katanya, selain itu, faktor pembelian panik juga antara penyumbang kes tersebut susulan mangsa tidak membuat semakan terlebih dahulu.
Tambahnya, malah ada kes di mana suspek menyamar dengan berkomunikasi menggunakan platform 'voice over internet protocol (VoIP) kononnya suspek berada di luar negara.
"Bagi usaha mengatasi kes ini, kita bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) serta institusi kewangan untuk menghalang aliran duit keluar. Polis juga berbincang dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) agar pihak telco menyimpan log panggilan," katanya.
Justeru, JSJK menasihatkan sekiranya hendak berinteraksi dengan syarikat penjual, sila membuat semakan terlebih dahulu di www.ccid.rmp.gov.my/semakmule, Facebook Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police atau CCID Infoline di talian 013-2111222.